OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Pencemaran udara: Kilang proses tempurung kelapa diarah henti operasi

Pencemaran udara: Kilang proses tempurung kelapa diarah henti operasi

Kubang Pasu: Sebuah kilang memproses tempurung kelapa untuk menghasilkan 'carbon black' diarah menghentikan operasi serta-merta berikutan pencemaran udara yang mengundang ketidakselesaan penduduk setempat.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya menerima aduan awam pada Jumaat lalu berhubung pencemaran udara, dan siasatan pada hari sama menunjukkan aduan berkenaan adalah berasas.

Beliau berkata, premis dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, semalam, atas kegagalan kilang mengadakan unit cerobong dan alat kawalan pencemaran udara di dalam premis ketika aktiviti pembakaran tempurung kelapa itu.

Katanya, ia sehingga menyebabkan pencemaran udara yang ketara di kawasan sekitarnya.

"Penahanan serta-merta tidak dapat dilakukan serta-merta Jumaat lalu kerana keadaan peralatan yang masih panas dan boleh membahayakan semua pegawai penguat kuasa.

"Tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) diambil bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku.

"Premis diarahkan untuk menghentikan operasi supaya langkah-langkah pembaikan dilakukan segera bagi mengawal pencemaran yang berlaku," katanya.

Sharifah Zakiah berkata, notis Arahan Seksyen 31 dan 37 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dikeluarkan kepada premis untuk tindakan pembaikan dan penyelenggaraan segera dalam tempoh POK terbabit.

Beliau berkata, premis hanya akan dibenarkan beroperasi semula selepas JAS Kedah berpuas hati dengan tindakan pembaikan yang diambil oleh premis.

"Pihak industri diingatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya serta memastikan tidak menyebabkan apa-apa pencemaran kepada alam sekeliling.

"Orang ramai diminta melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-mel ke This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search