OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

‘Kepakaran SMART tidak boleh dilakukan pasukan biasa’

‘Kepakaran SMART tidak boleh dilakukan pasukan biasa’

KUALA LUMPUR: Gempa bumi dahsyat berukuran 7.7 magnitud yang melanda Myanmar pada 28 Mac lalu meragut lebih 3,000 nyawa dan mencetuskan kebimbangan serius terhadap kesiapsiagaan rantau Asia Tenggara dalam menghadapi bencana.

Namun, kehadiran pantas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dua hari kemudian menyerlahkan keupayaan luar biasa Malaysia dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) bertaraf antarabangsa.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar berkata, pasukan SMART yang berlepas ke Naypyidaw pada 30 Mac bukan sahaja membawa bantuan kemanusiaan, malah menjadi antara pasukan luar pertama yang melaksanakan operasi SAR berpandukan piawaian tertinggi diselaraskan secara pantas dan sistematik oleh Agensi Pengurusan Bencana (NADMA).

“Gempa bumi berlaku pada jam 2.30 petang dan pada jam 4 petang, kita menerima permohonan rasmi daripada kerajaan Myanmar untuk menghantar misi bantuan kemanusiaan dan bantuan menyelamat,” katanya dalam temu bual khas Podcast Utama, terbitan Buletin TV3.

Permintaan segera itu dibawa kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi NADMA yang memberikan kelulusan serta-merta.

Sebaik kelulusan diperoleh, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) di Pulau Meranti segera diaktifkan sebagai pusat penyelaras utama operasi.

Katanya, NADMA menjalin komunikasi serentak dengan Wisma Putra, pejabat Malawakil Malaysia di Myanmar serta agensi pengurusan bencana negara berkenaan.

Abdul Gapar turut mendedahkan bahawa ketika suasana Aidilfitri semakin hampir, ramai pegawai awam yang sedang bercuti dipanggil semula mencerminkan komitmen luar biasa terhadap amanah yang digalas.

“Pada waktu kejadian, kita difahamkan untuk membeli minyak di stesen minyak, orang terpaksa beratur dalam barisan sepanjang beberapa kilometer,” katanya, menggambarkan kesukaran logistik yang perlu ditangani seawal peringkat awal.

Kesukaran tersebut memerlukan penyelarasan lebih rapi daripada penyediaan dokumentasi rasmi sehinggalah urusan bahan api. Bekalan minyak tidak dibenarkan dibawa menaiki pesawat A400 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) atas faktor keselamatan, menjadikan kerjasama erat dengan pejabat Malawakil sangat penting bagi memastikan bekalan tersedia di lapangan.

“Apabila semua pasukan telah dikumpulkan dan tiba pada malam itu, ada beberapa perkara penting yang perlu diselesaikan, termasuk dokumentasi rasmi, surat-menyurat dan sebagainya,” kongsinya.

Setiap hari sepanjang misi, laporan penuh merangkumi jumlah anggota dan lokasi semasa turut dihantar kepadanya tepat jam 8 pagi waktu Malaysia, memperlihatkan ketelitian NADMA dalam pemantauan operasi.

Namun, menurut Abdul Gapar, keunggulan SMART bukan hanya terletak pada kepakaran teknikal, tetapi juga sensitiviti sosial yang tinggi, satu bentuk ‘social intelligence’ yang menjadikan mereka berbeza.

“Alhamdulillah, saya lihat semua anggota kita berjaya menghayati latihan ini dan mempraktikkannya dengan baik. Sebab itulah bila orang tengok kerja menyelamat, mereka fikir mudah tebuk lubang, angkat, selesai. Tapi sebenarnya tidak semudah itu,” ujarnya.

Malaysia menerusi SMART kini merupakan antara dua negara ASEAN yang diiktiraf sebagai ‘Heavy USAR’ oleh International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG), bukti bahawa profesionalisme SMART berada dalam kelas tersendiri.

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search