Penemuan mangsa hidup umpama menang pingat emas
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Dalam kesukaran yang membalut hari-hari pasukan penyelamat Malaysia di bumi bergolak Myanmar, satu detik penuh harapan menyinar apabila penemuan seorang mangsa masih hidup di celah runtuhan selepas gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala ritcher melanda negara itu.
Bagi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), saat itu ibarat kemenangan tertinggi dalam sebuah misi kemanusiaan, umpama meraih pingat emas selepas berjuang tanpa henti sejak memulakan operasi.
Penguasa Kanan Bomba II merangkap Komander Kontinjen MAS-01 Operasi MyTeam Relief Myanmar, Mohamad Hafiezul Abdul Halim mengakui, detik itu menjadi suntikan moral yang luar biasa buat seluruh pasukannya.
“Kita ni ibarat tengah kumpul pingat perak, tiba-tiba dapat pingat emas. Sudah tentu ia mengatasi semua pencapaian sebelum ini.
“Apabila pasukan berjaya menemui mangsa yang masih hidup, kami akan mengutamakan keselamatan mangsa tersebut, memastikan segala bantuan segera diberikan,” katanya dalam temu bual khas Podcast Utama, terbitan Buletin TV3.
Beliau turut menegaskan bahawa keutamaan SMART dalam setiap operasi adalah memastikan mangsa menerima rawatan secepat mungkin, tanpa kompromi.
Namun tidak semua penemuan berakhir dengan kelegaan. Dalam satu insiden yang menyentuh hati, pasukannya menemui dua beranak yang terperangkap di sebuah kuil yang runtuh.
“Si ayah dan anaknya itu tidak sempat melarikan diri ketika bangunan kuil runtuh secara tiba-tiba dan mereka dihempap runtuhan, ditemui dalam keadaan berpelukan.
“Manakala si ibu berada di luar bangunan, menunggu dengan penuh harapan agar suami dan anaknya dapat diselamatkan,” kongsi Hafiezul.
Tragedi yang melanda Myanmar bukan sahaja menguji ketangkasan teknikal pasukan penyelamat, tetapi juga keupayaan mereka menyantuni budaya dan sensitiviti masyarakat tempatan.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar berkata, pasukan SMART sentiasa mengambil kira kepercayaan serta adat tempatan dalam setiap tindakan yang diambil.
“Dalam beberapa kes, misalnya kepercayaan Buddha, jika mayat tidak dapat dikeluarkan, keluarga memilih untuk melakukan pembakaran di lokasi sebagai bentuk penghormatan terakhir.
“Anggota kami perlu faham adat dan kepercayaan tempatan. Ini bukan sekadar operasi menyelamat, tetapi juga soal menghormati budaya dan hak keluarga mangsa,” katanya.
Beliau menambah, setiap penemuan mangsa yang masih hidup menjadi ‘keajaiban kecil’ yang memulihkan semangat pasukan, sekali gus memberi makna besar dalam misi kemanusiaan yang penuh cabaran ini.
Gempa yang melanda Myanmar pada 28 Mac itu mengorbankan lebih 3,700 nyawa, dengan 5,017 lagi cedera dan 130 masih hilang.