OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Pemantauan berkala elak bencana infrastruktur industri berfrekuensi tinggi - Pakar

Pemantauan berkala elak bencana infrastruktur industri berfrekuensi tinggi - Pakar

KUALA LUMPUR: Kegagalan infrastruktur industri berfrekuensi tinggi perlu ditangani melalui pemantauan berkala bagi mengelak bencana besar kepada rakyat.

Walaupun kegagalan atau bencana jarang terjadi di negara ini, ia tidak mustahil berlaku seperti tragedi letupan saluran gas di Putra Heights di Puchong, Selangor, 2 April lalu.

 

Pensyarah Pengurusan Pembinaan dan Penyelidik Utama Sustainable Construction, Infrastructure and Environmental Management (CSIEM), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Madya Dr Haryati Shafii, berkata pematuhan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan adalah elemen yang ditekankan dalam setiap pengoperasian pekerjaan.

Ini kerana, kata beliau, tragedi boleh berlaku pada bila-bila masa sekiranya pemantauan secara berkala terhadap apa juga aktiviti yang membabitkan aspek keselamatan dan kesihatan diabaikan pihak berkepentingan.

Oleh demikian, beliau berkata, sudah tiba masanya masyarakat perlu mengambil endah dan cakna terhadap aspek kesedaran dan keselamatan itu memandangkan bencana boleh berlaku bila-bila masa tanpa mengira lokasi geografi.

 

"Antara langkah yang boleh dilakukan masyarakat dalam meningkatkan kesedaran dan keselamatan adalah melalui pemantauan infrastruktur. Apa juga aktiviti pembinaan, infrastruktur atau apa sahaja aktiviti membabitkan aspek keselamatan dan kesihatan hendaklah diperiksa secara berkala.

"Ini boleh mengelak kemungkinan berlakunya perkara tidak diduga mahupun kemalangan di luar jangkaan kita.

"Komuniti dan penduduk setempat harus dilibatkan sebagai mata dan telinga masyarakat dan kerajaan dalam memastikan keselamatan diri dan tempat tinggal mereka. Penduduk bukan sahaja perlu dibabitkan dalam kempen keselamatan bahkan perlu sentiasa cakna dengan persekitaran.

"Persatuan Komuniti setempat ataupun Jawatankuasa Kampung (JKK) boleh dibabitkan dalam bersama-sama menjayakan program keselamatan komuniti untuk meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab bersama. Komuniti perlu segera membuat laporan sekiranya didapati berlaku peristiwa, kejadian atau kerosakan yang tidak sepatutnya berlaku di kawasan tempat tinggal mereka," katanya kepada BH, di sini hari ini.

BH sebelum ini melaporkan, tiada kemas kini data baharu terhadap jajaran dan kedudukan paip gas bawah tanah selepas bertahun-tahun pembinaan dan pembangunan infrastruktur disiapkan, mencetuskan risiko keselamatan kepada orang awam.

 

Pakar dan perunding pemetaan negara, Jalal Johari yang juga Profesor Adjung Universiti Geomatika Malaysia, berkata banyak saluran paip gas di Malaysia tidak mempunyai pelan siap bina atau as-built yang lengkap, sekali gus sukar untuk memastikan keselamatannya.

Katanya, meskipun pembangunan di kawasan atas laluan paip bawah tanah memperoleh kelulusan pihak berkuasa, ia sebenarnya begitu berisiko dan perlu dielakkan serta memerlukan reka bentuk terperinci, selain pengawasan teliti ketika pembinaan dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Haryati berkata, latihan kecemasan seperti latihan simulasi gempa bumi, banjir, kebakaran dan letupan perlu dibabit aktif oleh masyarakat melalui penganjuran pihak komuniti, sekolah, Institut Pengajian Tinggi (IPT), pihak swasta dalam persediaan menghadapi sebarang situasi kecemasan.

Selain itu beliau berkata, kempen kesedaran awam terhadap bencana sama ada daripada agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan perlu diperhebatkan dalam komuniti dan masyarakat.

"Kempen ini termasuklah pengetahuan dan pendedahan terhadap bencana, tindakan kecemasan dan bagaimana bertindak sekiranya berhadapan dengan bencana itu.

"Malah melalui kemudahan dan capaian internet yang memuaskan, kempen seperti ini akan mudah disebarkan kepada semua lapisan masyarakat, baik di bandar mahupun luar bandar," katanya.

Haryati berkata, tragedi di Putra Heights itu sebenarnya memberi satu isyarat perlunya kesedaran dan keselamatan masyarakat ditingkatkan terutama di kawasan yang berdekatan dengan infrastruktur industri.

Katanya, ia memberi peringatan bersama mengenai keselamatan harta benda dan nyawa masyarakat yang perlu menjadi keutamaan dalam apa juga situasi.

"Kita tidak boleh bertolak ansur apabila ianya membabitkan aspek keselamatan. Langkah-langkah yang proaktif dan kerjasama antara pihak berkuasa, agensi yang terbabit dan masyarakat perlu dilakukan bagi memastikan sebarang risiko insiden seperti ini tidak berulang.

 

"Setiap individu memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan komuniti," katanya.

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search