OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

'Rundingan awal bersama pemimpin Myanmar sangat berjaya' – Anwar

'Rundingan awal bersama pemimpin Myanmar sangat berjaya' – Anwar

BANGKOK: Pentadbiran Myanmar komited melanjutkan gencatan senjata bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan di negara berkenaan susulan gempa bumi pada hujung bulan lalu.

Komitmen itu diberikan kedua-dua pemimpin Myanmar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada dua mesyuarat berasingan di sini.

Anwar berkata, beliau mengadakan pertemuan bersemuka bersama Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, petang semalam.

Perdana Menteri turut mengadakan mesyuarat secara maya dengan pemimpin Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar, Mahn Win Khaing Than, pagi tadi.

"Saya lihat ada kecenderungan (dari pemimpin Myanmar) untuk meneruskan gencatan senjata kerana itu juga prasyarat untuk semua bantuan kemanusiaan, tetapi mereka sebut peristiwa letupan itu berlaku, kita berharap ia dapat ditangani dengan baik.

 

"Apakah ada pertemuan (dengan pemimpin Myanmar)? Kemungkinan besar memang kita akan teruskan perundingan ini," katanya pada sidang media hari ini selepas mengakhiri lawatan kerja beliau ke sini atas jemputan rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin serta Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand, Bong Yik Jui.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau turut menyuarakan kepada kedua-dua pemimpin terbabit bahawa gencatan senjata adalah penting dan bantuan kemanusiaan perlu dibenarkan ke seluruh Myanmar tanpa mengira lokasi atau pendirian politik selari pendirian ASEAN.

Jaminan itu diberikan Min Aung Hlaing dan Mahn Win Khaing Than.

"ASEAN mahu kedamaian disegerakan, ASEAN mahu bantu membangunkan semula Myanmar dan jika boleh Myanmar kembali untuk bersama (ASEAN).

"Rundingan awal bersama pemimpin SAC dan NUG ini sangat berjaya," katanya sambil menambah blok gabungan itu bersedia memudahkan usaha terbabit dan berinteraksi dengan pemimpin Myanmar.

Anwar berkata, negara anggota ASEAN menghulurkan bantuan kemanusiaan untuk membina semula Myanmar.

Beliau berkata, Malaysia sebagai contoh menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan penempatan hospital medan.

"Saya akan segera menghubungi rakan di ASEAN untuk memaklumkan mereka (mengenai perkembangan ini) dan menggalakkan bantuan kemanusiaan disalurkan.

"Selain (ASEAN) memantau dan memastikan komitmen terhadap gencatan senjata dan mengelakkan sebarang provokasi yang tidak perlu, kerana jika tidak, seluruh bantuan kemanusiaan ini akan gagal," katanya.

Gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter yang melanda Myanmar pada 28 Mac lalu mengorbankan 3,706 orang, dengan 5,017 lagi cedera dan 130 masih hilang setakat Selasa lalu.

 

 

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search