Banjir di Johor makin pulih, Sabah tidak berubah
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Johor semakin pulih dengan penutupan satu pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat petang ini manakala keadaan di Sabah tidak berubah.
Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata setakat 4 petang, sebanyak 41 orang daripada 12 keluarga di Segamat masih berlindung di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak.
Mereka adalah penduduk Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 Jalan Muar, manakala PPS Dewan Komuniti Kampung Tasek yang sebelum ini menempatkan 15 orang daripada lima keluarga ditutup pada 1 tengah hari.
"Setakat 4 petang ini cuaca cerah dilaporkan di semua daerah, namun dua sungai di Segamat dan satu di Kluang mencatatkan paras amaran.
"Di Segamat, Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam mencatatkan bacaan 3.56 meter manakala Sungai Muar di Buloh Kasap 8.67 meter. Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang pula 14.28 meter," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa kekal 155 orang daripada 54 keluarga di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon, Beaufort petang ini.
"Sebanyak enam kampung masih terjejas banjir di Beaufort dan trend pemindahan kekal," katanya dalam kenyataan itu.
-- BERNAMA