PKNS tawar jual, sewa rumah murah bantu mangsa kebakaran Putra Heights
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM - Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersedia menyewakan rumah kosong untuk disewa dan dibeli pada harga lebih rendah kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat insiden kebakaran gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, pihaknya telah berbincang dengan kerajaan negeri Selangor bagi memastikan rumah-rumah kosong di bawah pengurusan PKNS dapat dimanfaatkan oleh mangsa kebakaran terbabit.
Menurut beliau, rumah yang ditawarkan terletak di beberapa kawasan strategik seperti Shah Alam merangkumi Seksyen 6, 7, dan 13, Kuala Lumpur dan Bangi.
"Antara jenis rumah yang disediakan termasuk rumah teres, semi-D, banglo dan juga kondominium. “Kami ada banyak rumah kosong, tetapi penempatan bergantung kepada lokasi dan keperluan mangsa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Jalinan Aidilfitri PKNS di sini pada Khamis.
Ujar beliau, dari segi sewa pula, harga ditetapkan pada kadar yang lebih rendah daripada pasaran, bahkan mungkin di bawah kos sebenar bagi memudahkan mangsa yang sedang menghadapi kesulitan kewangan.
“Kami faham ada mangsa yang masih perlu membayar pinjaman rumah atau kereta yang musnah.
"Jadi, kami tidak akan mengambil keuntungan, sebaliknya sewa hanya cukup untuk bayar air, elektrik dan sedikit kos penyelenggaraan,” tambah beliau.
Beliau memberitahu, kerajaan neger dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan menguruskan agihan berdasarkan kesesuaian.
"Mangsa yang memerlukan bantuan perlu memohon melalui kerajaan negeri Selangor dan LPHS, bukannya terus kepada PKNS. "Kerajaan negeri akan menentukan kelayakan dan lokasi penempatan berdasarkan keperluan," tambah beliau.
Sehubungan itu, PKNS berharap inisiatif itu dapat meringankan beban mangsa sementara menunggu proses pembinaan semula rumah atau penyelesaian lain.
"Kami sedia membantu dalam apa jua cara termasuk memberi kelonggaran tempoh sewa jika diperlukan kerana yang penting, mangsa dapat hidup selesa semula,” tambah Mahmud.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya turut menyalurkan sumbangan RM1 juta kepada Tabung Selangor Prihatin bagi membantu mangsa insiden kebakaran saluran paip gas terbabit.
Beliau berkata, sumbangan itu melibatkan penyertaan anak-anak syarikat serta rakan strategik kumpulan itu menyokong usaha pemulihan dan pembangunan semula kawasan tragedi.
"Sumbangan ini bertujuan memenuhi keperluan mendesak dan meringankan beban keluarga yang kehilangan tempat tinggal serta harta benda," katanya.
Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan itu kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. Amirudin sebelum ini memaklumkan kerajaan negeri menerusi tabung itu berjaya mengumpul RM4.74 juta setakat Rabu.