Banjir kilat di Sungai Pinang, Georgetown
- Admin UKK
- Berita
Georgetown: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Timur Laut memindahkan penduduk terjejas banjir kilat di beberapa lokasi sekitar di Sungai Pinang di sini, awal pagi tadi.
Antara yang dipindahkan adalah orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
Pegawai Waran II APM Daerah Timur Laut, Sarjan Mejar II Muhamad Haidzir Abai Zulkifli Abai berkata, terdahulu, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 1.35 pagi mengenai mangsa di beberapa rumah yang terjejas di Jalan P Ramlee.
Katanya, sebaik tiba di lokasi bersama lima lagi anggota, didapati air sudah meningkat sehingga 0.7 meter.
"Kita berjaya mengesan sebuah rumah yang dihuni penduduk berstatus OKU dan warga emas sebelum memindahkan mereka ke bahagian atas rumah berkenaan," katanya di lokasi, hari ini.
Tinjauan mendapati kawasan sekitarnya seperti Lorong Kampar, Kampung Dodol, Jalan Perak, Jalan Terengganu, Jalan Anson juga turut digenangi air akibat banjir kilat itu.
Hujan lebat dari 11.30 malam tadi dan berterusan sehingga lebih dua jam bagaimanapun kembali reda kira-kira 3 pagi dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
Sementara itu penduduk di Jalan P Ramlee, Saiful Hazri, 39, berkata, dia menyedari kawasan sekitar rumahnya dinaiki air selepas dihubungi jiran.
Katanya, dia yang tinggal bersama enam lagi ahli keluarga termasuk warga emas kemudian mengubah kedudukan keretanya ke tempat lebih tinggi.
"Namun dua motosikal yang terletak dalam kawasan rumah tidak sempat diselamatkan dan air naik begitu cepat hingga ke paras pinggang (kami)," katanya, di sini.