Gempa 5.2 magnitud gegar selatan California
- Admin UKK
- Berita
AMERIKA SYARIKAT: Penduduk di selatan California dikejutkan dengan satu gempa bumi kuat yang menggegarkan kawasan sekitar San Diego sejurus selepas jam 10 pagi waktu tempatan.
Ukuran awal daripada Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) mencatatkan gempa tersebut pada 5.2 magnitud dengan pusat gempa terletak di Julian, sebuah pekan pergunungan di daerah San Diego yang dihuni kira-kira 2,000 penduduk dan terkenal dengan pai epalnya. Pekan ini terletak kira-kira 35 batu timur laut San Diego dan 120 batu selatan Los Angeles.
Menurut USGS, kemungkinan untuk berlaku kerosakan atau kecederaan akibat gempa ini adalah rendah. Laporan mereka menyatakan bahawa “secara keseluruhan, penduduk di rantau ini mendiami struktur yang tahan terhadap gegaran gempa bumi”. Namun, terdapat juga beberapa kerentanan, dan gempa bumi di kawasan ini boleh mencetuskan bahaya lain seperti tanah runtuh dan pencairan tanah (liquefaction).
abatan polis dan sheriff daerah San Diego memaklumkan bahawa mereka tidak menerima sebarang laporan segera mengenai kerosakan atau kecederaan. Seorang anggota bomba daerah yang menjawab panggilan di balai bomba Julian turut menyatakan bahawa tiada laporan kerosakan diterima dan tiada panggilan kecemasan dibuat.
Gabenor California, Gavin Newsom, berkata di media sosial bahawa beliau diberi taklimat mengenai gempa bumi tersebut dan sedang bekerjasama dengan pasukan tindak balas tempatan bagi menilai sama ada terdapat sebarang kerosakan serta menentukan keperluan untuk bantuan kecemasan tambahan. REUTERS