Kebakaran saluran gas: Tujuh keluarga anak Kelantan terima RM5,000
- Admin UKK
- Berita
KOTA BHARU - Tujuh keluarga anak perantau Kelantan yang terlibat dalam kejadian kebakaran saluran gas di Putra Heights, Selangor pada 1 April lalu menerima sumbangan khas sebanyak RM5,000 setiap satu dan peralatan elektrik daripada kerajaan negeri Kelantan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, bantuan wang tunai dan barangan asas berkenaan bagi membantu meringankan beban mangsa pada pasca tragedi.
“Sumbangan ini sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab kerajaan negeri terhadap rakyat Kelantan yang berada di perantauan, khususnya mereka yang ditimpa musibah besar seperti ini.
“Daripada tujuh keluarga itu, satu keluarga adalah penduduk dari Temangan iaitu dari Dewan Undangan Negeri (DUN) saya sendiri, seorang lagi dari DUN Meranti, kawasan menteri besar manakala lima lagi kawasan lain di negeri ini,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Kebudayaan Islam 2025 di Pusat Tarbiah Islamiah (Putik) Pengkalan Chepa di sini pada Isnin.
Sumbangan tersebut diserahkan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dalam satu majlis ringkas di Selangor pada Ahad.
Mohamed Fadzli berkata, beliau juga sudah menghubungi mangsa dari kawasannya itu sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian.
Sebelum ini dilaporkan, kebakaran saluran gas terbabit mengakibatkan api menjulang hingga lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.
Insiden tersebut dilaporkan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Selain itu, kerajaan negeri juga menyerahkan sumbangan sebanyak RM500,000 kepada kerajaan Selangor sebagai solidariti dan simbolik persaudaraan antara negeri.