OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Sejauh mana PBT berkuasa?

Sejauh mana PBT berkuasa?

KETIKA Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd. Rahim ditanya bagaimana projek perumahan berhampiran lokasi letupan dan kebakaran saluran paip gas bawah tanah di Putra Heights diluluskan, beliau mempertahankan projek tersebut dan menyifatkan ia telah mendapat kelulusan sewajarnya.

Katanya, projek itu diberikan kebenaran merancang pada 2022 serta mendapat kebenaran daripada Petronas dan Indah Water Konsortium (IWK), syarikat pembentungan nasional dimiliki Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang ditugaskan untuk membangun dan menyelenggara sistem pembetungan. Kontraktor yang terlibat juga antara panel yang diluluskan oleh IWK dan Petronas.

Siasatan terhadap punca sebenar kebakaran dan letupan tersebut masih dijalankan namun ada yang mempersoalkan mengapa projek itu tetap diluluskan walaupun jelas bahawa kawasan itu merupakan kawasan sensitif dan berisiko tinggi serta boleh membawa ancaman kepada keselamatan penduduk setempat.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kader berkata, majlis perbandaran atau pihak berkuasa tempatan (PBT) bertanggungjawab untuk kelulusan zon dan perancangan guna tanah.

Katanya, jika saluran paip gas melalui berhampiran dengan kawasan kediaman, ini bermakna PBT meluluskan rancangan itu atau membenarkan pembangunan berhampiran saluran paip sedia ada.

Laporan menunjukkan lot kedai dua tingkat dibina hanya 30 meter dari lokasi kebakaran. Kebakaran dilaporkan memusnahkan 78 rumah, 10 rumah kedai, dan 225 kenderaan dalam lingkungan 290 meter dari tempat kejadian.

“Kami menggesa siasatan mengenai bagaimana saluran paip yang membawa gas asli yang sangat mudah terbakar itu boleh diluluskan begitu dekat dengan kawasan berpenduduk tanpa zon penampan,” katanya.

PBT BUKAN DI BAWAH KPKT
Kuasa kelulusan untuk membangunkan mana-mana kawasan di negara ini merupakan salah satu kuasa yang terletak di bawah PBT. Bagaimanapun, kesemua PBT terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri masing-masing, bukan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan supaya hal yang berkaitan dengan kerajaan tempatan kecuali bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

KPKT dan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) hanya menyelaras PBT-PBT dari segi penyeragaman dasar dan perundangan, memberi khidmat nasihat termasuk khidmat nasihat teknikal dan penyaluran peruntukan daripada kerajaan persekutuan.

Ini bermakna, PBT diwakilkan untuk bertanggungjawab terhadap hal ehwal tempatan, yang telah diwakilkan kuasa tempatan, yang telah diwakilkan kuasa kepadanya oleh sebuah kerajaan yang lebih tinggi sama ada kerajaan pusat dan kerajaan negeri, ini menurut JKT.

Namun, katanya, PBT tertakluk di bawah kawalan kerajaan yang tertinggi daripadanya dan mempunyai kuasa autonomi yang terhad dan kuasa ini selalunya dalam bidang kewangan dan pentadbiran. Justeru, PBT berkuasa memberi kemudahan dan perkhidmatan kepada penduduk sesebuah kawasan.

PBT juga menyelaras pelaksanaan dasar atau pekeliling berkaitan kerajaan tempatan di peringkat kerajaan negeri dan PBT, memberi khidmat nasihat berkaitan fungsi dan peranan perkhidmatan perbandaran dan pengurusan aduan PBT serta merancang, menyelaras, memantau dan menilai bantuan kewangan.

JENIS-JENIS PBT
PBT di negara ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu majlis atau dewan bandaraya, majlis perbandaran dan majlis daerah.

Majlis atau Dewan Bandaraya ialah majlis perbandaran yang dinaiktaraf kepada bandar raya setelah memenuhi kriteria tertentu antaranya jumlah penduduk tidak kurang 500,000 orang dan hasil tahunan PBT melebihi RM100 juta.

Majlis perbandaran lebih tertumpu kepada bandar dan mempunyai penduduk dan hasil yang melebihi majlis daerah, dengan jumlah penduduk yang melebihi 150,000 orang dan hasil tahunan melebihi RM20 juta.

Majlis daerah lebih tertumpu kepada luar bandar, dengan jumlah penduduk kurang daripada 150,000 orang dan hasil tahunan kurang daripada RM20 juta.

Setakat ini, sebanyak 151 buah PBT yang terdiri daripada 19 buah Dewan Bandaraya, 40 buah majlis perbandaran dan 92 buah majlis daerah.

KUASA-KUASA PBT
PBT tidak mengeluarkan sijil penyiapan dan pematuhan (CCC) untuk pembangunan, namun boleh menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 70(23)(a) dan (b), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) untuk menjalankan pemeriksaan semasa pembinaan bagi memastikan bangunan yang dibina adalah mematuhi pelan bangunan yang diluluskan dan boleh menahan pengeluaran CCC jika berlaku ketidakpatuhan.

Selain CCC, PBT juga berkuasa untuk meluluskan beberapa permohonan antaranya pelan bangunan, kebenaran merancang, permit sementara, pelan landskap, pelan kerja tanah, permit kerja ubah suai kecil, permit sementara bangunan rumah pekerja tapak bina, pelan lampu jalan, pelan jalan perparitan, penamaan taman, jalan atau bangunan, pelan bangunan tambah atau mengubah bangunan, permit bagi petak pengecasan kenderaan elektrik (EVCB), pelan kerja tanah bagi industrial green lane (IGL) dan lain-lain.

PBT juga berkuasa untuk bertindak terhadap pelbagai jenis aduan seperti cerun atau tanah runtuh, bangunan, rumah, jalan, longkang, banjir, haiwan, taman permainan, lampu jalan, lampu isyarat, sampah, pembakaran terbuka, tempat letak kereta, pokok, landskap, papan tanda, papan iklan, tandas, urus tadbir PBT, premis makanan, strata, pasar, orang kurang upaya (OKU) dan aduan kacau ganggu.

Lesen pasar juga dikeluarkan oleh PBT melibatkan semua jenis pasar di negara ini termasuklah pasar pagi, pasar malam, pasar tani, pasar minggu dan pasar tamu.

PBT turut bertanggungjawab dalam penjagaan kolam renang, tempat letak kenderaan OKU, dan pemasangan litar kamera tertutup (CCTV). Begitu juga dengan penguatkuasaan terhadap kebersihan dan kesihatan makanan di premis dan tempat awam.

Jika diperhatikan dengan terperinci, begitu banyak kuasa yang diletakkan di bawah PBT, jauh lebih banyak daripada mana-mana penguatkuasa lain di negara ini. Ini bermakna, PBT mempunyai kuasa untuk memastikan seluruh kawasan di bawah pentadbirannya berada dalam keadaan teratur, tersusun dan selamat untuk diduduki.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah meminta PBT supaya membangunkan bandar dan penempatan penduduk secara seimbang, kerana jika pembangunan berada dalam keadaan tidak terkawal maknanya perancangan kita ada kelemahannya.

Kelemahan ini yang perlu diakui, ditangani dan ditambah baik demi kebaikan dan keselamatan kita semua, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang di masa akan datang.-UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

 

 

 

 

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search