OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Banjir: 6 PPS dibuka, 1,000 mangsa di Petaling & Klang

Banjir: 6 PPS dibuka, 1,000 mangsa di Petaling & Klang

SHAH ALAM: Mangsa banjir melanda daerah Petaling dan Klang kini mencecah 1,000 orang dengan enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Mohd Najwan Halimi berkata, bagi daerah Petaling, selain Dewan Kenanga Seksyen 28 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Sekolah Kebangsaan Seksyen 16; Dewan Camelia, Putra Height turut dibuka untuk penempatan mangsa banjir.

Beliau berkata, bagi daerah Klang, tiga PPS dibuka adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Dewan Azalea, Taman Seri Muda dan Dewan Bunga Bakawali Seksyen 35.

“Proses pemindahan, pendaftaran dan bancian mangsa banjir sedang berjalan di semua PPS. Maklumat semua mangsa akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

“Kita pindahkan mangsa terlebih dulu, apabila hujan reda dan banjir pulih, kita aturkan sukarelawan untuk bantu kerja pembersihan.

“Mungkin ada juga bantuan kewangan (dari kerajaan negeri) tetapi ini akan disalurkan yang berdaftar di PPS. Jika masuk PPS kita akan urus bantuan sumbangan kewangan untuk mangsa,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kawasan terjejas di Kampung Padang Jawa di sini, hari ini.

Mengulas mengenai situasi banjir di kawasan Kampung Padang Jawa katanya, meskipun tiada kemalangan jiwa, namun ramai keluarga terjejas termasuk harta benda seperti kenderaan dan sebagainya.

“Di peringkat kerajaan negeri, kita akan melaksanakan penyelarasan bagi proses pemindahan mangsa dan keselamatan penduduk.

“Kita berharap penduduk terjejas akibat banjir mendengar arahan jika diarah pindah sebab kita hendak mengelakkan kemalangan jiwa dan insiden buruk berlaku,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pihak kerajaan negeri sedang bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan jika hujan berterusan.

“Jika malam ini hujan lebat lagi, kita perlu ambil lagi susulan terutamanya bagi membantu pemindahan mangsa,” katanya.

Hujan lebat sejak kira-kira jam 2 pagi tadi mengakibatkan berlaku banjir kilat di beberapa kawasan di negeri ini terutamanya daerah Petaling, Klang, Sepang, Hulu Langat dan Gombak.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search