Kebakaran Putra Heights: ‘kenapa penjawat awam Selangor kena paksa potong gaji’ soal Wan Fayhsal
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan kenapa penjawat awam Selangor dipaksa membuat potongan gaji bagi membantu mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights.
“Kenapa penjawat awam Selangor kena paksa buat potongan gaji,’’ soalnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari semalam yang menyatakan selain Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan 45 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), penjawat awam berpangkat gred 48 dan ke atas turut dipotong gaji.
Ia tanda solidariti terhadap rakyat Selangor daripada kumpulan tersebut bagi membantu mangsa insiden letupan paip gas di Putra Heights.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu turut mempertikaikan kenapa tiada sebarang kenyataan dibuat mengenai kontraktor yang terlibat dan kenapa nama mereka tidak didedahkan sehingga kini.
Beliau mempersoalkan bukankah mereka yang patut dikenakan tindakan undang-undang dan membayar pampasan kepada mangsa Putra Heights.
“Kenapa tidak dedahkan namanya lagi? Apakah dengan kebiusan ini sebenarnya kerajaan negeri cuba melindungi kontraktor ini? “Kebal sungguh!,’’ tegasnya.
Pada 6 April lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tiada sebab untuk mendedahkan nama pemaju atau sebagainya sehingga siasatan selesai.
Malah, katanya, kes kebakaran saluran paip di Putra Heights belum diklasifikasikan sebagai kes jenayah sementara menunggu siasatan penuh bagi menentukan punca letupan tersebut.
Berikutan itu, ujar beliau, kertas inkuiri telah dibuka untuk mengetahui sekiranya wujud sebarang unsur jenayah berkaitan kejadian itu.
Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas pada 8.10 pagi, 1 April lepas, menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kejadian itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40% manakala 81 rumah separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas. – 10 April, 2025