OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Kebakaran gas Putra Heights: KKM lapor polis, nafi dakwaan ada kematian

Kebakaran gas Putra Heights: KKM lapor polis, nafi dakwaan ada kematian

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) membuat laporan polis berhubung komen di media sosial yang mendakwa terdapat kematian dalam insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.
Menurut kenyataan KKM hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut dimaklumkan mengenai perkara itu.
 
"KKM menegaskan tiada sebarang laporan berhubung kematian diterima daripada mana-mana fasiliti kesihatan awam atau swasta berkaitan kejadian tersebut.
 
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat palsu hingga menimbulkan kegusaran awam, mengikut peruntukan undang-undang," menurut kenyataan itu.
Setakat pukul 12.30 tengah hari semalam, sebanyak 38 mangsa masih menerima rawatan, melibatkan 17 orang di hospital kerajaan dan 21 lagi di hospital swasta.
 
Daripada jumlah itu, seorang pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta, namun dilaporkan semakin pulih.
Secara keseluruhan, seramai 150 mangsa terlibat dalam kejadian itu dengan 127 daripadanya mengalami kecederaan langsung seperti luka melecur atau kecederaan fizikal lain.
 
Sementara itu, 18 mangsa mengalami kecederaan tidak langsung seperti serangan panik, kebimbangan dan tekanan darah tinggi, manakala lima lagi tidak memerlukan rawatan lanjut.
KKM memaklumkan fasiliti kesihatan akan memastikan mangsa terus mendapat sokongan diperlukan, terutamanya bagi luka kebakaran di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Putrajaya.
 
"Ini termasuk perkhidmatan untuk kesihatan mental yang amat penting untuk membolehkan keluarga terkesan dapat meneruskan kehidupan seharian secara normal secepat mungkin," menurut KKM.
KKM memaklumkan lapan petugas mereka terlibat dalam insiden itu, juga akan menerima sokongan penuh sehingga mampu kembali bertugas seperti sebelumnya.
 
Kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi, 1 April lepas menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
-- BERNAMA
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search