Jalan sepanjang 30 meter melintasi kawasan lot binaan, rumah ditutup
- Admin UKK
- Berita
Jalan sepanjang 30 meter yang melintasi kawasan di antara lot pembinaan dan kawasan perumahan akan ditutup bagi membantu siasatan insiden letupan paip gas di Putra Heights, 1 April lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata jalan itu adalah tanah di bawah kelolaan Majlis Bandaraya Subang Jaya.
“Sebelum ini jalan itu boleh digunakan, tetapi ia akan ditutup bagi memudahkan pihak polis melakukan siasatan serta pasukan teknikal menjalankan cerapan data bagi mengetahui dengan lebih lanjut insiden dan kejadian terbabit.
“Ia juga untuk kita mengetahui siapa yang wajar bertanggungjawab terhadap masalah berkenaan,” katanya pada sidang media di Wisma Dewan Annex, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, semua mangsa tragedi yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Camelia dibenarkan pulang dan pusat berkenaan ditutup bermula malam tadi.
Beliau berkata, mangsa di PPS Masjid Putra Heights pula akan dibenarkan pulang secara berperingkat sehingga akhir minggu ini.
“Mesyuarat menetapkan rumah yang alami kerosakan kecil, penghuninya akan dibenarkan untuk balik, manakala rumah yang mempunyai kerosakan serius, kita akan lihat bagaimana proses seterusnya.
“Akan ada satu sumbangan standard untuk membantu membaik pulih rumah berkenaan yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pemulihan,” katanya.
Amirudin berkata, proses pendaftaran homestay Airbnb bermula malam tadi dan dijangka selesai sepenuhnya Ahad ini.
Katanya, Majlis Agama Islam Selangor turut menyampaikan sumbangan bakul makanan yang boleh membantu mangsa dalam tempoh tiga minggu hingga sebulan.
“Keluarga ini akan turut diberikan bantuan makanan asas seperti beras, tepung, dan minyak masak secara percuma selama sebulan,” katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata, semua Ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor (EXCO) akan menyumbang RM1,000 daripada gaji mereka untuk membantu mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights.
Katanya, potongan gaji itu juga dilaksanakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan penjawat awam gred 48 dan ke atas.
Kerajaan beri sumbangan
Bagi menambah dan meningkatkan lagi solidariti, katanya, rakyat Selangor, terutama dalam kalangan penjawat awam, pihak majlis mesyuarat kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan sumbangan.
“Berikutan itu semua EXCO akan menyumbang RM1,000 manakala ADUN akan memberikan RM200, Ahli Majlis (RM100) dan penjawat awam yang bergred 48 dan ke atas akan menyumbang RM50 daripada gaji mereka.
“Secara keseluruhannya, anggota pentadbiran awam negeri akan menyumbang sebanyak anggaran RM102,050 yang disumbangkan kepada Tabung Prihatin,” katanya.
Dalam kejadian 1 April lalu, saluran utama paip gas milik PETRONAS terbakar dan mengambil masa hampir lapan jam untuk padam sepenuhnya.
Sebanyak 437 kediaman di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru dilaporkan terkesan akibat insiden itu, dengan 81 rumah musnah sepenuhnya, 81 lagi rosak sebahagian dan 57 lagi terjejas akibat kebakaran tetapi struktur masih utuh.
Baki 218 rumah lagi sudah diperiksa dan didapati tidak terjejas dengan 151 rumah diisytiharkan selamat untuk didiami semula.