‘Paip gas tak tunjukkan gangguan nyata’
- Admin UKK
- Berita
Hasil siasatan awal jawatankuasa teknikal mengendalikan siasatan insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, mendapati keadaan fizikal paip gas yang meletup, tidak menunjukkan sebarang gangguan nyata.
Perkembangan itu diumumkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada sidang media semalam, berdasarkan siasatan dengan menggali semula laluan paip kumbahan yang dipasang syarikat kontraktor.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama syarikat berkenaan kerana siasatan lanjut masih dijalankan.
“Kita dapati paip kumbahan ini dipasang pada kedalaman 2.1 meter dari aras jalan sedia ada di situ. Hasil keterangan lanjut, didapati kerja pengorekan yang dibuat kontraktor ini tidak melebihi tiga meter sepanjang jalan itu dengan lebar korekan 1.5 meter.
“Kerja pengorekan dan pemasangan ini dilakukan sepanjang kira-kira 30 meter dan dipercayai akan disambung lagi. Jalan yang merentasi laluan paip gas PETRONAS ini adalah jalan yang diluluskan,” katanya.
Beliau menjelaskan, kerja penggalian semula dilakukan dengan tiga ekskavator, sebuah bulldozer (jentera pengorek) dan sebuah backhoe yang sedang diteruskan untuk membuka kawasan serta meninjau kedudukan paip PETRONAS.
“Pihak polis dapati paip gas PETRONAS ini berada pada kedalaman 5.6 meter dari aras jalan. Maksudnya jarak antara paip kumbahan dan paip gas adalah 1.6 meter.
“Keadaan fizikal paip ini tidak menunjukkan sebarang gangguan yang nyata,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
Hussein berkata, kerja galian itu dilakukan dan dipantau polis bersama PETRONAS, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor serta pihak kontraktor.
Beliau berkata, penentuan sama ada kerja pengorekan oleh kontraktor di kawasan itu menjadi punca letupan saluran paip gas bawah tanah akan diputuskan selepas siasatan lanjut dijalankan.
“Adakah kerja pengorekan oleh kontraktor ini mengganggu laluan paip belum dapat ditentukan buat masa ini sehingga keseluruhan saluran paip di kawasan itu didedah dan disiasat lanjut,” katanya.
Fasa menstabilkan lokasi
Selain itu Hussein berkata, siasatan belum dapat dimulakan lagi kerana masih dalam fasa menstabilkan lokasi kejadian akibat letupan dan kini ‘kawah’ letupan berkenaan ditakungi air akibat hujan.
Justeru, katanya, pelan tindakan teknikal membabitkan empat fasa pemulihan bencana akan dijalankan supaya siasatan di lokasi kejadian dapat dijalankan kelak.
“Fasa pertama membabitkan pengaliran sementara monsoon drain yang merentasi paip gas PETRONAS selesai hari ini (semalam). Fasa berkenaan turut membabitkan kerja-kerja heat mapping (100-650 Celsius) merangkumi kawasan seluas 300 meter radius.
“Fasa dua untuk memastikan keselamatan dan kestabilan tanah sebelum kerja pengorekan untuk mendedahkan saluran paip gas dan pencarian keterangan fizikal dapat dilakukan.
“Dalam fasa itu juga, dilakukan kerja-kerja ground scanning (imbasan tanah), soil grading (penggredan tanah) dan pemasangan sheet pile bermula 7 hingga 15 April ini,” katanya.
Hussein berkata, fasa ketiga pula untuk memudah cara proses siasatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan waktu itu, polis boleh memulakan kerja untuk mengenal pasti punca kejadian di kawasan berkenaan.
“Fasa empat merangkumi proses memudah cara proses pemeriksaan, pembaikan dan penyambungan semula bekalan paip gas yang terkesan oleh PETRONAS,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, polis menerima satu laporan yang mendakwa ada individu bermain mercun di kawasan terbabit pada malam sebelum kejadian letupan paip gas.
Sehingga tengah hari semalam, Hussein berkata, polis menerima sebanyak 642 laporan berhubung insiden letupan berkenaan.
Selain itu, katanya, lebih 100 percakapan dirakam oleh polis membabitkan pelbagai pihak, termasuk 15 pihak kontraktor, subkontraktor dan pekerja.
Sementara itu, Hussein berkata, hasil penilaian dijalankan pihak berkuasa di kawasan sekitar insiden letupan itu mendapati sebanyak 220 daripada 439 rumah diklasifikasikan sebagai selamat.
Beliau berkata, ia berdasarkan penilaian terperinci kali kedua dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merangkumi radius seluas 325 meter (m) berbanding 280m sebelum ini.
Baki rumah yang dinilai tidak selamat, membabitkan sebanyak 219 rumah di kawasan terbabit.
“Daripada jumlah ini, 87 rumah mengalami kerosakan melebihi 20 peratus, iaitu kerosakan besar dan 132 rumah mengalami kerosakan kecil kurang 20 peratus.
“Rumah-rumah yang mengalami kerosakan di bawah 20 peratus dibenarkan dibaiki oleh penghuni atau tuan rumah mulai hari ini (semalam). Senarai rumah-rumah akan diedar dan dimaklumkan kepada tuan rumah.
“Sehingga sekarang, 130 rumah sudah boleh diduduki semula, 45 rumah telah pindah. Pada hari ini (semalam), sebanyak 24 rumah di Kampung Kuala Sungai Baru. Jadi, jumlah rumah yang boleh diduduki adalah 154,” katanya.