OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Baik pulih cerun bahaya, tanah runtuh di Jalan Sipan/Temalat sebelum Gawai - Nanta

Baik pulih cerun bahaya, tanah runtuh di Jalan Sipan/Temalat sebelum Gawai - Nanta

KAPIT: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menggesa agar kerja-kerja membaik pulih cerun berbahaya dan tanah runtuh di Jalan Sipan/Temalat di Song dilaksanakan dengan segera demi keselamatan orang awam, khususnya menjelang sambutan Hari Gawai Dayak pada 1 dan 2 Jun ini.
 
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook semalam, beliau berkata kos bagi kerja-kerja membaik pulih cerun berbahaya itu dianggarkan sebanyak RM2 juta, manakala kerja baik pulih kawasan tanah runtuh memerlukan peruntukan kira-kira RM5 juta.
 
"Walaupun jalan tersebut terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, adalah amat penting untuk kerja-kerja baik pulih ini dipercepatkan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya," katanya.
 
Perkara itu disampaikan beliau semasa menghadiri Mesyuarat Pelaporan Bencana Monsun Timur Laut (MTL) yang diadakan di Pejabat Daerah Song, semalam.
 
Dalam mesyuarat itu, Nanta, yang juga Ahli Parlimen Kapit, turut mengingatkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) agar segera memasang papan tanda amaran di kawasan tanah runtuh sepanjang laluan Sibu-Kapit bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
 
Sementara itu, beliau turut memaklumkan Pegawai Daerah Song, Harry Bruce Edwin, melaporkan sebanyak 14 kawasan telah terjejas akibat bencana banjir yang melanda dari 21 hingga 23 Mac lalu, mengakibatkan 104 mangsa terpaksa dipindahkan.
 
Sebanyak enam buah sekolah turut terkesan akibat banjir tersebut, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Beguang, SK Nanga Temalat, SK Lubok Bedil, SK Nanga Janan, SK Nanga Nansang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Katibas.
 
Secara keseluruhan, sekitar 1,500 penduduk dilaporkan terjejas, namun ramai yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara yang disediakan.
 
-- BERNAMA
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search