OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Riang ria di PPS, ubat kesedihan mangsa kebakaran

Riang ria di PPS, ubat kesedihan mangsa kebakaran

SUBANG JAYA – Suasana di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights semakin ceria apabila pelbagai aktiviti dianjurkan untuk membantu kanak-kanak mengatasi trauma dan kesedihan mereka.

Inisiatif ini digerakkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dengan mengerahkan guru kaunseling ke PPS bagi memberikan sokongan emosi kepada murid-murid yang terkesan.

Menurut seorang guru kaunselor, Dr. Chen, program ini bertujuan untuk membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dengan keadaan baharu selepas insiden yang menimpa mereka.

“Sejak semalam, JPN Selangor telah merancang untuk menghantar guru kaunseling bagi memberi bimbingan dan sokongan emosi kepada murid-murid yang terjejas.

“Pagi ini, saya pulang ke sekolah untuk mengambil bahan-bahan yang diperlukan bagi aktiviti Smart Support Team (SST),” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Chen menjelaskan bahawa SST merupakan pasukan khas yang ditubuhkan oleh guru kaunseling di Selangor untuk memberi sokongan psikologi kepada penduduk yang terjejas, terutama kanak-kanak.

“Melalui aktiviti ini, mereka dapat mengenal pasti perasaan sendiri dan meluahkannya agar tidak mengalami trauma berpanjangan.

“Antara aktiviti yang dijalankan ialah mewarna dan melukis, di mana jika terdapat unsur-unsur mencurigakan dalam hasil lukisan mereka, sesi kaunseling kelompok akan diadakan bagi membantu mereka mengatasi kesan emosi yang dialami,” tambahnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Putra Heights, Datin Sharifah Sheznie Syed Hashim, berkata pihaknya turut mengambil inisiatif untuk membantu mangsa yang terjejas.

“Kami mengusahakan derma kilat dan tabung kebajikan dengan menghebahkannya dalam kumpulan kelas supaya ibu bapa lain dapat turut menyumbang.

“Aktiviti yang dianjurkan ini juga sedikit sebanyak membantu mengurangkan kesedihan mereka. Kami amat mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan daripada pihak lain bagi meringankan beban mereka yang terkesan,” ujarnya.

Bagi seorang mangsa kebakaran, Masnani Ab. Sani, 40, aktiviti yang dianjurkan di PPS sedikit sebanyak membantu mengurangkan kebosanan anak-anaknya.

“Ada aktiviti mewarna, melukis dan pelbagai aktiviti kreatif lain untuk mereka lakukan.

“Jadi kuranglah rasa bosan, dan mereka nampak lebih ceria walaupun keadaan sebenarnya masih sukar,” katanya.

Program yang diadakan ini bukan sahaja membantu kanak-kanak mengalihkan perhatian mereka daripada kesedihan tetapi turut memberi ruang untuk mereka pulih secara emosi dengan lebih baik. – KOSMO! ONLINE

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search