OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Malaysia berisiko mengalami gempa bumi

Malaysia berisiko mengalami gempa bumi

Kuala Lumpur: Malaysia mungkin tidak terletak dalam Lingkaran Api Pasifik, namun negara ini masih berisiko mengalami gempa bumi akibat pergerakan zon sesar aktif, kata Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Nor Shahidah Mohd Nazer.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pakar Geologi Sabah, Prof Dr Felix Tongkul yang meramalkan kemungkinan gempa bumi sehingga 6.5 skala Richter boleh berlaku di Malaysia, khususnya di daerah Ranau dan Lahad Datu, Sabah.

"Saya bersetuju dengan pandangan Prof Dr Felix bahawa Malaysia tidak mempunyai sesar aktif sepanjang Myanmar, tetapi kita tetap mempunyai zon-zon sesar aktif yang boleh mencetuskan pergerakan plat dan mengakibatkan gempa bumi.

"Bukit Tinggi di Pahang, sebagai contoh, adalah antara kawasan aktif, tetapi gegarannya masih dalam kategori rendah kerana pelepasan tenaga yang minimal," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, walaupun risiko gempa bumi kuat di Malaysia adalah rendah, ia tidak bermakna negara ini boleh mengambil ringan aspek kesediaan menghadapi bencana alam.

"Kita perlu meningkatkan kajian dan pemantauan terhadap zon sesar yang berpotensi untuk aktif serta mengambil langkah berjaga-jaga dari segi pembinaan bangunan yang tahan gegaran di kawasan berisiko," katanya.

Terdahulu, Dr Felix dalam kenyataannya berkata, gempa bumi besar berpotensi berlaku di Lahad Datu dalam beberapa tahun akan datang, memandangkan kali terakhir gempa kuat berlaku di kawasan itu adalah pada 1923 dan 1976.

Dalam sejarah Malaysia, antara gempa bumi terbesar yang pernah direkodkan ialah di Lahad Datu dengan magnitud 6.2 pada 26 Julai 1976 dan 6.3 pada 11 Ogos 1923.

Sementara itu, gempa bermagnitud 6.0 di Ranau pada 5 Jun 2015 turut mengakibatkan kemusnahan serta korban nyawa di Gunung Kinabalu.

Dr Nor Shahidah turut menegaskan kepentingan pemetaan kawasan berisiko tinggi serta mempertingkat kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai bahaya gempa bumi di Malaysia.

"Walaupun kita bukan dalam Lingkaran Api Pasifik, tetapi kesan pergerakan plat tektonik di negara jiran tetap boleh memberi impak kepada kita," katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search