Gempa Myanmar, Bursa Saham Thai gantung semua sesi dagangan
- Admin UKK
- Berita
BANGKOK: Bursa Saham Thailand terpaksa menggantung semua sesi dagangan serta-merta, susulan gempa bumi bermagnitud 7.7 di Myanmar yang menyebabkan gegaran dirasai sehingga kota Bangkok.
Perkara itu dinyatakan operator bursa di laman web rasminya.
Penutupan ini melibatkan kesemua pasaran, termasuk SET, Market for Alternative Investment (MAI) dan Thailand Futures Exchange (TFEX) untuk sesi petang ini.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat, gempa kuat itu turut melanda barat laut bandar Sagaing.
Menurut laporan media tempatan, kepingan siling jatuh dari bangunan manakala jalan raya mula retak di ibu kota Myanmar, Nay Pyi Taw.
Kawasan yang terjejas mengalami gegaran kuat kira-kira setengah minit sebelum kembali reda.
Setakat ini, tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa atau jumlah cedera.
Namun kebanyakan orang ramai masih panik dan dalam keadaan trauma di bandar-bandar berdekatan di utara Thailand dan hingga ke ibu kota Bangkok.
Sementara itu, Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra berkata beliau telah menghentikan lawatan rasmi ke Phuket untuk mengadakan “mesyuarat tergempar” selepas gempa bumi itu.