'Malu nak minta tolong, tapi terpaksa'
- Admin UKK
- Berita
Johor Bahru: "Malu sebenarnya nak minta tolong, tapi saya terpaksa kerana tinggal sehelai sepinggang selepas banjir besar tempoh hari."
Itu kata mangsa banjir, Wan Md Rosanizal Wan Hasan, 50, ketika menceritakan kisahnya yang tiada pilihan melainkan memohon bantuan orang ramai menerusi satu hantaran di Facebook (Fb).
Dalam hantaran itu, Wan Md Rosanizal memohon sesiapa yang sudi menyumbang pakaian buat anaknya untuk dipakai ketika hari raya nanti, selain tikar, selimut dan tilam selepas tidak sempat menyelamatkan barangan keperluan apabila rumahnya dinaiki air pada 20 Mac lalu.
Bercerita lanjut, kawasan rumahnya di Kampung Pasir, dekat sini, mudah banjir setiap kali hujan, namun kejadian terbaru tempoh hari adalah yang terburuk pernah dialaminya.
"Tapi syukur kami sekeluarga selamat, cuma barang rumah seperti peti ais rosak, periuk nasi yang baru beli pun hilang, begitu juga beras dan gula yang dihanyutkan.
"Kiranya, tak ada apa yang tinggal. Saya pula perantau yang berasal dari Kelantan dan tak tahu nak minta tolong dengan siapa," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Wan Md Rosanizal tidak menyangka perkongsiannya mendapat perhatian hingga ramai menghulurkan sumbangan. "Alhamdulillah, ramai yang tolong, malah ada antaranya memberi duit dan baju raya terpakai untuk anak saya.
"Terima kasih, tak terkata kerana terharu dengan bantuan yang diterima.
"Semoga Allah SWT membalas kebaikan semua yang membantu," katanya yang mempunyai tiga anak berumur dua dan lima tahun serta tujuh bulan.