PM arah PETRA kemuka cadangan manfaat air hujan
- Admin UKK
- Berita
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengemukakan cadangan memanfaatkan air hujan supaya negara dapat menjamin bekalan air ketika kemarau.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata arahan itu disampaikan Perdana Menteri dalam pertemuannya bersama pengurusan tertinggi PETRA hari ini.
"Perdana Menteri minta kita mengemukakan cadangan dalam tempoh dua minggu, apa yang boleh kita lakukan sebab negara kita banyak hujan tapi pada masa sama berlaku kemarau.
"Perdana Menteri minta kita bagaimana kita nak simpan air supaya boleh digunakan untuk waktu kemarau dan untuk masa depan," katanya ditemui selepas menghadiri Program Ihya Ramadan PETRA yang disempurnakan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Ditanya lanjut mengenai tempoh masa dua minggu yang diberikan Perdana Menteri, Fadillah berkata, kajian berkaitan perkara itu sebenarnya sudah berjalan dan kini sedang mengumpul maklumat untuk tindakan seterusnya.
"Kita akan kaji dan lihat apakah yang boleh kita laksanakan dari segi projeknya, dari segi tindakan yang perlu kita lakukan dan apa pun tindakan yang perlu dilakukan, kita memerlukan kerjasama di peringkat negeri," katanya.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, Perdana Menteri turut menyentuh mengenai isu tenaga dalam pertemuan berkenaan dan mahu PETRA menangani isu dihadapi rakyat dan sektor perniagaan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
"Perdana Menteri mahu apa sahaja tarif yang kita tetapkan, tidak akan (menyusahkan rakyat), mengambil kira kedudukan rakyat kebanyakan dan juga PMKS," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri menyertai kira-kira 300 warga PETRA pada Program Ihya Ramadan di Dewan Baiduri, Menara PETRA di sini.
Program Ihya Ramadan itu bertujuan sebagai wadah Perdana Menteri menyantuni warga PETRA di samping bersama memanfaatkan Ramadan dengan mengisi amalan kerohanian menerusi majlis ilmu yang penuh keberkatan.
Antara pengisian program adalah Tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Nabil Ahmad yang juga penceramah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertajuk "Ramadan: Syukuri Nikmat Air dan Tenaga".
Perdana Menteri kemudiannya bersama warga PETRA menunaikan solat Zuhur secara berjemaah.