Ribuan penduduk Australia diarah berpindah susulan Taufan Tropika Alfred
- Admin UKK
- Berita
SYDNEY: Ribuan penduduk di timur Australia diarah berpindah berikutan Taufan Tropika Alfred yang membawa hujan lebat, ombak besar dan angin kencang, membadai negara itu.
Taufan Alfred bergerak perlahan ke arah pantai, sekali gus menimbulkan kebimbangan ia mencetuskan hujan dalam tempoh berpanjangan.
Bencana alam itu menyebabkan bekalan elektrik terputus selain penutupan operasi lapangan terbang.
Biro Meteorologi Australia menjangkakan taufan itu akan membadai kawasan utara Brisbane iaitu bandar ketiga terbesar negara itu, sebagai taufan kategori dua.
Menurutnya, tiupan angin melebihi 100 kilometer sejam (km/j) melanda kawasan pesisir yang menjadi sempadan negeri Queensland dan New South Wales pada waktu malam, sementara ribut itu kini berada kira-kira 200 kilometer (km) di luar pesisir.
Perdana Menteri, Anthony Albanese, meminta semua penduduk supaya menjaga keselamatan dengan tidak melakukan aktiviti luar.
Ia susulan terdapat rakaman televisyen menunjukkan peluncur ombak melakukan aktiviti di laut, serta orang ramai berjalan berhampiran pantai, sekali gus memaksa pihak berkuasa mengeluarkan amaran supaya penduduk kekal di dalam rumah atau bersedia berpindah jika diarahkan.
Albanese berkata, seramai 120 anggota pertahanan akan membantu pasukan kecemasan dalam operasi menyelamat dan bantuan.
"Ini bukan masa untuk bersiar-siar atau merasai sendiri keadaan cuaca ekstrem ini. Tolong jaga keselamatan dan bertindak bijak," katanya.
Beberapa kawasan di utara New South Wales dilanda hujan lebat dengan lebih 400 milimeter hujan turun dalam tempoh 48 jam terakhir, melebihi purata keseluruhan bagi bulan Mac.
Premier Queensland, David Crisafulli, berkata lebih 20,000 kediaman di bandar pelancongan Gold Coast terputus bekalan elektrik.
Beliau berkata, angin kencang akan berterusan sepanjang hari dengan hujan lebat boleh membawa kepada masalah besar walaupun ia berlaku dalam tempoh singkat.
"Sepanjang malam tadi, kita dapat melihat betapa kuatnya impak taufan ini," katanya kepada ABC News.
Lapangan Terbang Brisbane menutup operasi pada Khamis petang, manakala pengangkutan awam di bandar itu turut digantung.
Lebih 1,000 sekolah di tenggara Queensland dan 280 di utara New South Wales turut ditutup.
Pihak berkuasa menyifatkan taufan Alfred sebagai bencana yang amat jarang berlaku bagi Brisbane, ibu negeri Queensland, yang kali terakhir dilanda taufan lebih setengah abad lalu pada 1974.
Bandar dengan kira-kira 2.7 juta penduduk itu pernah nyaris dilanda taufan pada 1990 dan 2019.