Kebakaran 75.67 hektar ladang kelapa di Gebeng punca jerebu
- Admin UKK
- Berita
KUANTAN: Ladang kelapa seluas 75.67 hektar di kawasan Balok Baru di sini terbakar sejak 22 Februari lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim, berkata daripada keseluruhan kawasan terbakar berkenaan, 66.773 hektar sudah dipadamkan manakala operasi pemadaman sedang dipertingkatkan bagi baki 8.903 hektar lagi.
Setakat ini, seramai 73 anggota terbabit dalam operasi membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng serta dibantu 10 BBP lain antaranya Kuantan, Taman Tas dan Indera Mahkota sepanjang tempoh sembilan hari operasi pemadaman.
"Kebakaran ladang kelapa memasuki hari kesembilan (semalam) dan kawasan itu mula merebak berikutan angin kencang. "Sebuah pesawat jenis Mi-17 turut digunakan untuk memadam kebakaran," katanya dalam kenyataan semalam.
Operasi pemadaman dibahagikan kepada tujuh sektor bagi mengelak kebakaran terus merebak.
Bantuan pam daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan sebuah jengkaut daripada Jabatan kerja Raya (JKR) turut membantu.
"Secara keseluruhannya 103 pegawai dan anggota dari JBPM dan agensi sahabat terbabit dalam operasi kali ini," katanya.