OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Kilang proses bahan pencuci musnah terbakar

Kilang proses bahan pencuci musnah terbakar

PELABUHAN KLANG - Sebuah kilang memproses bahan pencuci di Jalan Sultan Alauddin 3 di sini musnah dalam kebakaran pada Rabu melibatkan simpanan bahan kimia yang mudah terbakar.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.31 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi pada jam 5.26 pagi.

Beliau berkata, kebakaran melibatkan kawasan pemprosesan bahan pencuci serta simpanan Intermediate Bulk Container (IBC) Tank yang berkapasiti 1,000 liter setiap satu.

"Pemeriksaan awal mendapati sejumlah besar IBC Tank mengandungi bahan kimia seperti phosphoric acid 85 peratus (lima tangki), caustic soda 48.5 peratus (80 tangki) dan sodium hypochlorite 10 peratus (27 tangki) terbakar serta mengalami kebocoran.

"Kebakaran ini turut menyebabkan kerosakan pada struktur bangunan kilang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya, seramai 26 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Klang, BBP Sungai Pinang dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Shah Alam dikerahkan ke lokasi bagi mengawal kebakaran serta menangani kebocoran bahan kimia berkenaan.

"Pasukan Hazmat memasang satu aliran hose water curtain bagi mengawal penyebaran api serta menjalankan penilaian keselamatan bahan kimia di lokasi kejadian.

"Pemeriksaan kemudiannya dijalankan melibatkan cecair yang tumpah di lantai dan mendapati bacaan pH 1 dan pH 14 di sudut berbeza, menunjukkan kehadiran bahan kimia bersifat asid dan alkali," jelasnya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menggunakan alat pengesan gas menunjukkan bacaan normal.

"Pemilik premis telah menghubungi syarikat kontraktor bagi menguruskan pelupusan bahan kimia yang terjejas.

"Operasi pemadaman dan penilaian keselamatan selesai pada jam 8.15 pagi sebelum diserahkan kepada pihak kilang," katanya.

Tambahnya, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian ini. "Punca kebakaran masih dalam siasatan," jelasnya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search