Jas pasang tiga alat pemantau kualiti udara
- Admin UKK
- Berita
Jabatan Alam Sekitar (Jas) memantau kualiti udara di sekitar Nilai terutama di kawasan Pusat Borong Nilai 3 di sini, susulan kebakaran gudang permaidani di Jalan Nilai 3/5, pagi, semalam.
Tinjauan di lokasi mendapati kepulan asap hitam menjulang naik ke langit dan dapat dilihat dari jarak lebih lima kilometer.
Pengarah Jas Negeri Sembilan, Hamzah Mohamad berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kejadian itu dan menggerakkan tiga pasukan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami mendapati kepulan asap tebal terhasil daripada kebakaran gudang permaidani ini. Jadi kami memasang tiga alat pemantau kualiti udara di kawasan yang dikenalpasti.
“Buat masa ini kami masih memantau kualiti udara memandangkan kawasan perumahan hanya 500 meter dari kawasan kejadian,” katanya.
Katanya, sekiranya keadaan bertambah teruk dan kualiti udara terjejas, pihaknya akan memberi nasihat kepada Pejabat Pendidikan Daerah supaya melakukan sepatutnya.
“Buat masa ini kami masih lagi memantau kualiti udara memandangkan kawasan perumahan hanya 500 meter dari kawasan kejadian” Pengarah Jas Negeri Sembilan, Hamzah Mohamad.
“Kami akan maklumkan kepada PPD supaya nasihatkan pihak sekolah bagi melepaskan murid lebih awal sekiranya situasi teruk bagi memastikan mereka tidak terdedah pencemaran.
“Penduduk di sekitar Nilai terutama Nilai 3 dinasihatkan (PPD) tindakan tidak cemas kerana kami sentiasa pantau, namun buat masa ini kami masih lagi mengumpul data,” katanya.
Sehingga jam 12 tengah hari, kebakaran masih belum dipadamkan sepenuhnya dan asap hitam masih lagi kelihatan dari jauh, namun tiada bau asap dapat dihidu di kawasan berdekatan.