OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Projek mitigasi banjir dijangka siap 12 bulan lebih awal – TPM

Projek mitigasi banjir dijangka siap 12 bulan lebih awal – TPM

KUALA LUMPUR – Projek mitigasi banjir bagi menangani risiko banjir yang semakin meningkat terutamanya di kawasan-kawasan yang sering terdedah kepada bencana di seluruh negara dijangka daapt disiapkan 12 bulan lebih awal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang meneliti pendekatan untuk menyegerakan projek dengan tempoh dan kos yang lebih efektif.

“Antara cadangan yang diambil ialah semua urusan termasuk pengambilan tanah dan proses rekabentuk akan diteliti semula untuk mempercepatkan tempoh penyiapan projek.

“Dengan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat dijangka projek dapat disegerakan sehingga 12 bulan lebih awal daripada tempoh asal penyiapan projek,” katanya menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum itu, Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengutarakan soalan mahu kerajaan perincian tindakan kementerian berhubung gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya projek berkaitan tebatan banjir disegerakan dan berapakah kos terkini yang perlu ditanggung oleh kerajaan memandangkan proses kelulusan projek ini pernah dibatalkan pada akhir tahun 2022 yang lalu.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata sehingga Rolling Plan Kelima tahun 2025, sebanyak 50 pelan induk tebatan banjir telah disiapkan dan enam pelan pula sedang dibangunkan manakala tiga lagi dirancang untuk mula dibangunkan bermula Jun 2025.

“Sehingga Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Ke-12 (RP5 RMKe-12), sebanyak 136 projek tebatan banjir telah diluluskan dengan jumlah kos RM22.86 bilion.

“Daripada jumlah tersebut, 35 projek sedang dalam peringkat pra-pelaksanaan dan 73 projek sedang dalam pelaksanaan,” katanya lagi.

Tambah Fadillah, kerajaan telah menilai semula cadangan-cadangan projek tebatan banjir selepas tahun 2022 untuk memberi keutamaan kepada kawasan-kawasan kritikal terlebih dahulu berdasarkan proses pentadbiran dan peruntukan kontrak yang bersesuaian serta mematuhi tatacara perolehan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

Sebelum ini, Anwar berkata beliau telah mengarahkan Perbendaharaan memberikan kelonggaran supaya projek tebatan banjir dapat dipercepatkan.

Beliau berkata, ia melibatkan peruntukan segera dan proses saringan awal (pre queue) yang lebih cepat. – MalaysiaGazette

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search