Tangguh acara di luar bilik darjah jika cuaca panas
- Admin UKK
- Berita
Pengurusan sekolah diminta menangguhkan aktiviti di luar bilik darjah jika cuaca panas melebihi 35 darjah Celsius bagi mengelak kejadian tidak diingini berikutan musim panas ketika ini.
Pengarah Pendidikan Terengganu, Jelani Sulong, berkata pihak sekolah juga diminta memaklumkan kepada ibu bapa supaya membekalkan minuman secukupnya kepada murid dalam keadaan cuaca sedemikian.
“Selain itu, pengetua dan guru besar diminta sentiasa mengikuti perkembangan cuaca dari semasa ke semasa dikeluarkan Jabatan Meteorologi (Metmalaysia),” katanya kepada media ketika melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa Wakaf Tapai, di sini, semalam.
Jelani yang turut menyantuni pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, memaklumkan seramai 256,869 pelajar rendah dan menengah memulakan sesi sesi akademik 2025/2026 di 506 sekolah seluruh negeri, semalam.
“Daripada jumlah itu, seramai 149,314 adalah murid sekolah rendah, 107,555 pelajar sekolah menengah. Jumlah murid Tahun Satu sesi akademik 2025/2026 juga meningkat kepada 23,254 berbanding 22,126 pada sesi lalu.
“Tiada proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) selama satu minggu bermula hari ini (semalam), hanya sesi orientasi atau takruf untuk memastikan proses penyesuaian murid kepada persekitaran sekolah,” katanya.
Di Kota Bharu, Timbalan Pengarah Pendidikan Kelantan (Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah), Mat Lazim Mohammad menasihatkan murid memakai pelitup muka dan minum air mencukupi sepanjang musim panas ini.
Galak pakai pelitup muka
Beliau yang ditemui media ketika hadir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail 1 sempena hari pertama sesi 2025/2026, berkata pihaknya sentiasa akan merujuk Metmalaysia bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi musim panas.
“Sekarang sudah mula cuaca panas dan kami galakkan murid memakai pelitup muka dan bawa air mencukupi. Walaupun tidak diwajibkan, pemakaian pelitup muka digalakkan kerana cuaca panas boleh mengakibatkan demam, batuk dan selesema.
“Sebarang perkembangan dari semasa ke semasa akan dimaklumkan oleh pihak sekolah kepada ibu bapa melalui siaran atau saluran yang ada,” katanya menambah aktiviti luar bilik darjah akan dikurangkan dengan fokus kepada pembelajaran dalam kelas.
Katanya, jika cuaca panas semakin serius, pihak kementerian mempunyai kit kesihatan, termasuk mengandungi pelitup muka yang akan diagihkan kepada sekolah terjejas.