Halaman banglo biru makin dekat dengan laut, pagar rumah roboh akibat hakisan
- Admin UKK
- Berita
KUALA NERUS: Keresahan pemilik banglo biru di Kampung Tanjung, dekat sini, menjadi kenyataan apabila pagar rumah berkenaan roboh malam tadi akibat fenomena ombak besar.
Pemiliknya, Mohd Yazit Idris, 66, berkata, pagar sebelah kanan rumahnya roboh kira-kira jam 9.30 malam tadi dan kejadian itu menjadikan episod baru buat banglo biru miliknya.
Beliau berkata, asakan ombak walaupun tidak sekuat malam Isnin lalu namun sudah cukup untuk menghakis pantai dengan pantas hingga merobohkan pagar rumahnya.
Katanya, hanya dalam tempoh beberapa minggu saja jarak pagar yang sebelum ini melebihi 10 meter dari pantai mengalami hakisan.
"Saya buntu memikirkan kejadian ini, kerana selepas bahagia dapur dapat diselamatkan namun bahagian pagar sebelah kanan pula mengalami hakisan.
"Ibarat anai-anai merosakkan perkakas, sedikit demi sedikit tanah pantai terhakis dan hingga merobohkan struktur pagar," katanya.
Beliau berkata, selepas kerja menambak dan membina benteng pemecah ombak di belakang rumahnya, dia ketika itu sudah mampu menarik nafas lega.
Namun sejak seminggu lalu, beliau berkata, hidupnya kembali gusar memikirkan hakisan yang berlaku berhampiran pagar rumahnya kerana bimbang pagar berkenaan akan runtuh.
"Ketakutan ini kini menjadi kenyataan apabila semalam pagar sudah roboh dan menandakan kawasan halaman sudah menghampiri laut.
"Saya berharap pihak berwajib segera melakukan kerja menambak bongkah batu bagi mengurangkan impak hakisan," katanya.
Beliau hanya mampu menarik nafas lega hanya beberapa minggu sahaja selepas kerja menambak pantai di belakang rumahnya selesai dan kini kembali dihantui kejadian hakisan di tepi rumahnya pula.
Katanya, kini kedudukan pantai dan rumahnya hanya tinggal beberapa meter saja lagi dan kejadian itu amat menggusarkan kerana hakisan berlaku dengan cepat.
"Fenomena ombak besar setinggi 2.4 hingga 2.8 meter malam tadi sehingga malam esok mungkin memberi kesan pada halaman rumah pula.
"Sedih melihat pagar rumah ini roboh di hadapan mata sendiri malam tadi namun apakan daya saya hanya mampu melihat kejadian itu berlaku kerana kuasa alam mampu mengatasi segalanya," katanya.
Beliau berkata, apa yang ingin dipertahankan kini adalah struktur rumah daripada roboh kerana berdepan hakisan melalui sisi kanan rumah pula selepas bahagian belakang dapat diselamatkan.
Terdahulu, banglo biru milik Mohd Yazit, menjadi perhatian ramai sejak awal Januari lalu apabila berdepan bakal roboh akibat hakisan dan semalam warga emas itu menyuarakan kebimbangannya selepas hakisan hampir merobohkan pagar rumahnya.