OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Malaysia antara 5 negara dengan pencemaran plastik tertinggi dunia

Malaysia antara 5 negara dengan pencemaran plastik tertinggi dunia

PELABUHAN KLANG: Kerajaan merancang penggubalan kerangka dasar dan perundangan menyeluruh peringkat nasional untuk mengatasi pencemaran plastik di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata langkah tersebut adalah antara usaha kerajaan dalam menangani pencemaran sisa plastik dan menguruskannya dengan lebih lestari.

Isu pencemaran plastik sebelum ini banyak bergantung kepada inisiatif di peringkat kerajaan negeri menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan bukan satu dasar yang menyeluruh.

"Di bawah RMK13 kita sedang melihat sama ada boleh diadakan satu perundangan di peringkat nasional untuk mengatasi pencemaran plastik.

"Sekarang kita banyak bergantung kepada undang-undang atau peraturan di peringkat PBT. Itu sahaja tidak cukup. Kita perlu ada perundangan bersifat nasional (menyeluruh)," katanya selepas merasmikan Kapal Pengumpulan Sisa 'Mobula 8' anjuran Marine Research Foundation (MRF) di Pulau Indah, hari ini.

Nik Nazmi berkata masalah pencemaran plastik adalah serius yang mana Malaysia menjadi antara lima negara dengan pencemaran plastik tertinggi di dunia yang mana ia turut menyumbang kepada masalah kesihatan dan banjir kilat.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata isu pencemaran plastik akan turut dibincangkan sempena Kepengerusian ASEAN 2025.

"Sejak China mengetatkan peraturan (menghentikan pembelian hampir semua sisa plastik pada Januari 2018), Malaysia, Indonesia dan Filipina pula berdepan dengan masalah (kemasukan sisa plastik luar) ini.

"Jadi, kita akan bincang di peringkat ASEAN juga kerana masalah (pencemaran sisa plastik) bukan hanya masalah Malaysia sahaja," katanya.

Terdahulu, beliau mengalu-alukan sumbangan kapal pengumpul sisa plastik, Mobula 8 oleh The SeaCleaners iaitu badan bukan kerajaan (NGO) dari Switzerland kepada MRF sebagai inisiatif mengurangkan impak terhadap pencemaran plastik.

Nik Nazmi berkata, Mobula 8 akan ditempatkan di Kota Kinabalu, Sabah dan beliau berharap lebih banyak syarikat korporat atau NGO menghulurkan sumbangan membantu inisiatif penyelesaian pencemaran sisa plastik.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search