Rosey hargai inisiatif TVS Prihatin, JKR Sarawak dan Mydin salur bantuan di PPS SMK Suai
- Admin UKK
- Berita
BEKENU, 8 Februari: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus menzahirkan penghargaan kepada TVS Prihatin dan Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suai.
Menurut beliau, jumlah mangsa di PPS berkenaan merekodkan penurunan iaitu 116 orang setakat jam 12 tengah hari berbanding lebih 300 orang sebelumnya.
“Sebahagian mangsa telah pulang ke rumah, tetapi ada yang kembali ke pusat pemindahan setelah mendapati paras air kembali meningkat.
“Alhamdulillah, bantuan yang disediakan dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir. Pihak kementerian juga telah menghantar bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), walaupun terdapat kekangan dari segi pembekal (supplier) dan pengangkutan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa penghantaran bantuan dilakukan secara berperingkat, dan meminta mangsa yang masih menunggu bantuan agar bersabar.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata, keadaan banjir menyebabkan bekalan barangan keperluan terputus selama beberapa hari kerana kedai-kedai pembekal di kawasan itu turut terjejas dan terpaksa ditutup akibat dimasuki air.
Selain itu, katanya, laluan pengangkutan juga terjejas akibat jalan-jalan utama yang menghubungkan kawasan terbabit dengan bandar Miri turut dinaiki air.
“Kami menunggu bekalan dari Miri, tetapi pada masa yang sama, semua pihak bertumpu ke sana.
“Ini menyukarkan penghantaran ke kawasan yang terjejas namun, Alhamdulillah dengan bantuan sukarelawan, agensi kerajaan, dan individu yang prihatin, masalah ini dapat diringankan walaupun tidak selicin yang kita harapkan,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para sukarelawan yang banyak membantu dalam memastikan kelancaran bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.
Pada masa sama, beliau turut mengesahkan bahawa pusat pemindahan masih menerima mangsa yang kembali setelah air di kawasan kediaman mereka naik semula.
“Kita terima lagi mereka sebab kita faham keadaan ini. Jika mereka balik dan hujan turun lagi, kita bimbang keadaan akan menjadi lebih buruk. Jadi, kita masih menerima mereka di PPS ini,” katanya.
Beliau berharap keadaan cuaca akan bertambah baik dalam masa terdekat dan menasihatkan penduduk agar terus berwaspada serta mengutamakan keselamatan diri dan keluarga. -TVS