OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Pesakit dialisis Hospital Pasir Mas dirujuk ke fasiliti lain berdekatan

Pesakit dialisis Hospital Pasir Mas dirujuk ke fasiliti lain berdekatan

TANAH MERAH: Pesakit yang sepatutnya menerima rawatan dialisis di Pusat Dialisis Hospital Pasir Mas akan dirujuk ke hospital dan pusat dialisis berdekatan, susulan runtuhan bumbung premis kemudahan terbabit malam tadi.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata pihaknya sudah berhubung dengan Pengarah Hospital Pasir Mas supaya memberi keutamaan kepada pesakit yang menerima rawatan dialisis di situ mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

Beliau berkata, 60 pesakit yang menerima rawatan dialisis di Hospital Pasir Mas terbabit dalam proses berkenaan.

"Justeru, pesakit tidak perlu risau berkenaan perkara ini dan walaupun pada masa sama mungkin ada kesulitan, kami cuba minimumkan bagi memberi rawatan yang terbaik kepada mereka.

"Buat sementara waktu, pusat dialisis di hospital ini tidak beroperasi dan jangkaan tempoh untuk beroperasi semula adalah bergantung kepada keadaan tahap kerosakan runtuhan bumbung bangunan pusat dialisis itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Khatan Perdana 2025 Peringkat Hospital Tanah Merah di Lobi Utama Bangunan Emerald Hospital Tanah Merah, di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, beliau sudah mendapat maklumat insiden runtuhan bumbung Pusat Dialisis Pasir Mas dan pihaknya kini masih membuat siasatan berkenaan punca kejadian.

"Saya tidak mahu mendahului siasatan dan pada masa sama, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) serta mana-mana agensi yang terbabit juga akan membuat pemantauan dan melakukan siasatan berhubung laporan insiden yang berlaku," katanya.

Terdahulu media melaporkan, bumbung bangunan pusat dialisis Hospital Pasir Mas di sini runtuh dalam kejadian yang berlaku di hospital berkenaan pada malam tadi.

Bagaimanapun, tiada mangsa yang terbabit dalam kejadian yang berlaku jam 11.45 malam itu membabitkan runtuhan seluas 108 meter persegi.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search