OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

131 petani Pulau Pinang terjejas banjir terima bantuan

131 petani Pulau Pinang terjejas banjir terima bantuan

GEORGE TOWN - Seramai 131 petani di negeri ini yang terkesan akibat bencana banjir pada tahun lalu menerima bantuan berjumlah RM239,832.

Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata, bantuan itu diberi melalui Lembaga Pertubuhan Peladang yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun pesawah terlibat.

Menurutnya, kawasan sawah yang terjejas akibat banjir melibatkan keluasan sebanyak 140.8 hektar merangkumi sembilan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Banjir yang melanda baru-baru ini telah memberikan kesan besar kepada sektor pertanian, khususnya pesawah di negeri ini. Musibah ini telah menjejaskan sumber pendapatan mereka yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tuaian.

"Sebagai usaha bagi membantu meringankan beban yang ditanggung, kerajaan negeri telah memperuntukkan bantuan berjumlah RM239,832 melalui Lembaga Pertubuhan Peladang kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berkata, sembilan DUN merupakan kawasan yang besar dan memerlukan perhatian serta sokongan daripada semua pihak bagi memastikan sektor pertanian negeri terus berkembang dan kekal berdaya saing.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program bantuan ini, khususnya kepada Jabatan Pertanian Pulau Pinang, agensi kerajaan serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus dalam memastikan pesawah terjejas mendapat bantuan sewajarnya.

"Kerajaan negeri akan terus berusaha untuk meningkatkan daya tahan sektor pertanian termasuk memperkenalkan langkah mitigasi bagi menghadapi perubahan iklim dan bencana alam yang semakin mencabar," tambahnya.

Beliau juga berharap agar bantuan itu dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh pesawah dan memberi semangat baharu kepada mereka untuk terus berusaha dalam bidang pertanian.

"Semoga usaha kita ini mendapat keberkatan dan kesejahteraan untuk semua," katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search