Jumlah mangsa banjir di Sabah, Sarawak meningkat
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Banjir di Sabah dan Sarawak terus merekodkan peningkatan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu dengan 15,015 mangsa berbanding 11,886 orang malam kelmarin.
Di Sarawak, jumlah mangsa meningkat kepada 9,398 orang daripada 2,725 keluarga pagi semalam berbanding 7,503 orang daripada 2,096 keluarga malam kelmarin.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, daerah Bintulu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 4,021 orang daripada 1,090 keluarga yang berlindung di enam PPS, diikuti daerah Serian dengan 1,886 mangsa daripada 602 keluarga ditempatkan di 15 PPS.
Di Selangau, seramai 900 mangsa daripada 226 keluarga masih berlindung di empat PPS, di Tatau mencatatkan 1,353 mangsa daripada 393 keluarga di tiga PPS dan di Kuching, seramai 475 mangsa daripada 153 keluarga berlindung di tiga PPS.
Di Sabah, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 5,617 orang daripada 1,899 keluarga setakat jam 8 pagi semalam berbanding 4,383 orang daripada 1,475 keluarga malam kelmarin. Sekretariat Jawatankuasa
Mangsa banjir di Sabah dan Sarawak kini berjumlah 15,015 orang.
Pengurusan Bencana Negeri Sabah melaporkan sebanyak 39 PPS dibuka di 10 daerah, dengan Kota Marudu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,944 orang daripada 1,090 keluarga.
Daerah lain yang terjejas ialah Pitas dengan 768 mangsa (261 keluarga), Lahad Datu 443 mangsa (121 keluarga), Telupid 413 mangsa (110 keluarga), Kota Belud 301 mangsa (88 keluarga), Paitan 274 mangsa (99 keluarga), Beluran 195 mangsa (60 keluarga), Sandakan 118 mangsa (28 keluarga), Beaufort 107 mangsa (29 keluarga), dan Tongod 54 mangsa (13 keluarga).
Menurut laporan itu, trend pemindahan mangsa di Kota Marudu, Pitas dan Paitan menunjukkan peningkatan.