Banjir di Sarawak bertambah buruk
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Keadaan banjir semakin buruk di Sarawak, manakala di Sabah tidak banyak berubah tetapi ada penurunan jumlah penduduk yang berpindah.
Sehingga 6 petang semalam, di Sarawak mencecah 11,000 mangsa banjir daripada 3,039 keluarga yang mendapat perlindungan di 58 pusat pemindahan sementara (PPS).
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, daripada 58 PPS mangsa banjir, Serian masih mencatat jumlah tertinggi dengan 19 PPS, Bintulu (9), Kuching (4), Samarahan (12) dan Miri (9) dan Sibu (5).
Di Kota Kinabalu, lapan PPS membabitkan lima daerah terjejas banjir di Sabah sudah ditutup.
Setakat jam 5 petang semalam, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, semua PPS itu ialah tiga di Telupid, dua daerah Beluran serta satu PPS di daerah Paitan, Sandakan dan Kota Belud.
Jumlah mangsa banjir di Sabah di 34 PPS ialah 5,162 orang daripada 1,789 keluarga, berbanding 5,617 orang daripada 1,899 keluarga pagi semalam.
Kota Marudu kekal mencatat bilangan mangsa banjir tertinggi, iaitu 2,944 mangsa meliputi 1,095 keluarga. “Pitas menjadi daerah kedua paling ramai merekodkan mangsa banjir iaitu 766 orang daripada 269 keluarga berada di lima PPS.
“Lahad Datu mencatatkan 476 orang mangsa di tiga PPS, manakala Telupid pula terdapat 288 mangsa di tujuh PPS,” katanya.
Sementara itu, daerah lain terjejas banjir ialah Paitan (240 mangsa), Kota Belud (229 mangsa), Beaufort (108 mangsa), Beluran (57 mangsa) dan Tongod (54 mangsa).
Pindah aset, bantu mangsa
Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah menggerakkan semua jentera dan kakitangan jabatan
dan agensi kerajaan bagi membantu mangsa di Sabah dan Sarawak. Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata pihaknya menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu mangsa banjir serta memindahkan
aset dan bantuan ke kawasan bencana. “NADMA sentiasa berkomunikasi rapat dengan semua pihak dan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“Kita memang sentiasa bersedia dan membuat persediaan awal selepas arahan dikeluarkan sebelum Monsun Timur Laut oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat. “Buat masa ini semua jentera sudah dikerah dan pergerakan aset di lapangan akan dibuat berdasarkan keperluan semasa,” katanya kepada BH.
Kelmarin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkaitan, termasuk NADMA untuk memperkukuh jentera penyelarasan berikutan banjir di Sabah dan Sarawak yang semakin buruk.