Siswa cuci inap desa
- Admin UKK
- Berita
Banjir melanda Kelantan baru-baru ini menyebabkan sebahagian besar lokasi peranginan beberapa daerah termasuklah kawasan Inap Desa Nelayan Pantai Suri terjejas.
Sehubungan itu, seramai 150 sukarelawan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC) membabitkan 60 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Kota Bharu dan Machang, Kelantan mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan kampung serta 15 inap desa baru-baru ini.
Meskipun menaiki bot merentasi Sungai Kelantan dalam keadaan hujan dan ombak bergelora, situasi itu tidak melenyapkan semangat peserta Skuad Ihsan Madani MOTAC untuk tiba bersama segala kelengkapan yang diperlukan untuk aktiviti seharian itu.
Menurut penuntut Tahun Dua Jurusan Pentadbiran Awam dari UiTM Machang, Wan Rifqi Danish Wan Rashidi, 20, rasa terujanya untuk menyertai aktiviti gotong-royong itu tidak dapat dibendung kerana pertama kali menjejakkan kaki ke kampung yang terbabit.
"Sebelum ini saya hanya pernah sampai ke Pasar Terapung Pantai Suri sahaja yang terletak bersebelahan sahaja namun kali ini saya berkesempatan untuk berjalan-jalan ke sekitar kampung.
"Gotong-royong seperti ini agak mengujakan saya kerana selain ingin menolong penduduk kampung menceriakan semula persekitaran, aktiviti ini juga menghilangkan tekanan belajar," katanya yang juga berasal dari Pengkalan Chepa, Kota Bharu itu.
Bermula jam 10 pagi, semua peserta termasuk sukarelawan dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Kraftangan Malaysia memulakan kerja masing-masing selepas dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Bagi penuntut Tahun Satu Jurusan Sains Matematik, Muhammad Aidil Najmi Mohd Fairus, 19, kehadirannya di Kampung Pantai Suri itu adalah bagi menghulurkan bantuan tenaga untuk sama-sama 'menukar wajah' lokasi pelancongan yang sebelum ini suram akibat banjir menjadi kembali ceria.
"Saya difahamkan kampung ini dinaiki air sehingga paras 0.7 meter ketika banjir lalu dan mengambil masa untuk surut kerana mengalami air pasang memandangkan lokasinya berhampiran Sungai Kelantan.
"Tidak salah jika kami datang sama-sama membersihkan kampung yang menyediakan inap desa untuk pelancong luar ini kerana sekurang-kurangnya, masa kami dimanfaatkan sebaiknya," katanya yang berasal dari Besut, Terengganu.