Kebakaran rumah bersiri beri cabaran buat anggota BBP Baling
- Admin UKK
- Berita
Baling: Kebakaran sembilan rumah di Kupang, di sini, sejak 24 Disember hingga 12 Januari lalu menjadi pengalaman tidak dapat dilupakan buat pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling.
Ini kerana kebakaran yang berlaku berselang seli itu tidak pernah dilalui mereka berbanding operasi pemadaman kebakaran biasa sebelum ini.
Penyelia BBP Baling Muhammad Yunus Ali berkata, sepanjang 32 tahun bertugas dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), insiden terbabit sangat mencabar buatnya.
Menurutnya, dia bersyukur kerana dapat menjalankan tugas dengan baik terutama menghadiri dua kebakaran di Kupang pada 26 Disember lalu.
"Ini kali pertama saya berdepan dengan cabaran memadam kebakaran seperti ini yang berlaku secara bersiri terutama pada 26 Disember tahun lalu apabila menghadiri dua kebakaran pada awal pagi.
"Kami perlu lupakan sementara penat, yang penting kena pastikan perlu hadiri setiap panggilan yang diterima untuk memastikan keselamatan nyawa serta harta benda," katanya ketika ditemui di BBP Baling, di sini, hari ini.
Menurutnya, pada pagi 26 Disember lalu, dia yang mengetuai pasukan kru B menerima panggilan pertama pada 2.09 pagi berhubung kebakaran sebuah rumah di Kampung Tanah Periuk, Kupang.
Katanya, sebaik selesai memadam kebakaran itu, mereka sekali lagi menerima panggilan kebakaran hanya 500 meter dari lokasi kebakaran pertama di kawasan itu, kira-kira 4 pagi.
"Kami baru hendak beredar dari memadam kebakaran rumah pertama, namun menerima panggilan daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah memaklumkan ada kebakaran motosikal pula.
"Apabila saya melihat alamat diberi, kami masih berada di kampung berkenaan dan bergegas ke lokasi yang hanya terletak kira-kira 500 meter dari rumah terbakar yang pertama," katanya.
Sementara itu, Ketua BBP Baling, Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran rumah itu pada 23 Disember tahun lalu dan disusuli pada 24 Disember serta dua kebakaran pada 26 Disember.
Menurutnya, kebakaran rumah itu berlaku lagi pada 28 Disember, diikuti 1 Januari dan 12 Januari lalu.
"Hasil siasatan Bahagian Penyiasatan Kebakaran, kebakaran yang berlaku pada 24 Disember hingga 12 Januari lalu didapati mempunyai unsur khianat.
"Walaupun ada dakwaan mengaitkan kejadian itu mempunyai unsur mistik atau ilmu hitam tapi bagi saya, kami hanya menjalankan tugas memadam kebakaran," katanya.
Katanya, kerjasama penduduk di kawasan itu juga sangat baik, malah turut membantu.