OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Amaran hujan berterusan tahap buruk di Sarawak, Sabah, Labuan hingga esok

Amaran hujan berterusan tahap buruk di Sarawak, Sabah, Labuan hingga esok

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di beberapa kawasan di Sarawak, Sabah dan Labuan hingga esok.

Di Sarawak amaran itu melibatkan kawasan Mukah (Mukah), Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang manakala di Sabah pula membabitkan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort). Amaran sama turut melibatkan Labuan.

 

Bagi hujan berterusan tahap waspada pula, amaran sama turut membabitkan Sarawak melibatkan kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah (Tanjung Manis, Daro, Matu dan Dalat) dan Kapit (Song dan Kapit).

Amaran hujan berterusan tahap waspada turut dikeluarkan di Sabah melibatkan kawasan Pedalaman (Nabawan, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.

Sementara itu, Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataan berasingan memaklumkan satu sistem tekanan rendah telah terbentuk di perairan Sarawak semalam. Model-model cuaca menunjukkan intensiti sistem itu berpotensi meningkat menjadi lekukan tropika dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang.

Beliau berkata, sistem itu dijangka akan bergerak ke utara menuju ke tengah Laut China Selatan dan pada masa sama, luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 24 Disember ini.

Keadaan ini boleh mengakibatkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di Sarawak, WP Labuan, Sabah serta perairan Laut China Selatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan MetMalaysia telah mengemas kini Amaran Hujan Berterusan (Buruk dan Waspada) yang berkuat kuasa sehingga 22 Disember 2024 melibatkan negeri berkenaan manakala Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora pula berkuat kuasa sehingga 24 Disember.

"MetMalaysia akan mengemas kini nasihat dan amaran tersebut dari semasa ke semasa berdasarkan situasi terkini,” katanya.

Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. - Bernama

 

 

 
 
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search