OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Pusat simulasi bencana dijangka siap Februari

Pusat simulasi bencana dijangka siap Februari

Puchong: Projek pembinaan tapak khas simulasi bencana bagi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Pulau Meranti, dekat sini dijangka siap sepenuhnya pada Februari ini.

Projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor itu mencapai 99 peratus kemajuan dan bakal menjadi pusat simulasi bencana yang pertama di Malaysia serta kedua di rantau ASEAN selepas Singapura.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pembinaan pusat simulasi bencana itu bertujuan meningkatkan kecekapan dan tahap profesionalisme anggota SMART dalam mendepani segala bentuk kemungkinan bencana.

“Kita ingin menjadi pasukan menyelamat yang cekap ketika berlaku bencana. Anggota SMART kira-kira 150 orang dan pusat ini akan memberikan latihan optimum kepada mereka yang terlibat,” katanya pada sidang media selepas melawat tapak simulasi khas bencana itu di Markas SMART, di sini semalam.

Projek membabitkan kos hampir RM33.4 juta itu adalah milik Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Ahmad berkata, pusat berkenaan memiliki keupayaan membuat simulasi pelbagai senario bencana yang akan menjadi asas kepada latihan komprehensif dan berdasarkan situasi sebenar bencana.

Beliau berkata, fasiliti dan teknologi yang akan melengkapkan pusat berkenaan dijangka menyokong semua keperluan bagi memudahkan pasukan SMART mengekalkan pengiktirafan International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG), badan di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengkoordinasikan rangkaian penyelamat antarabangsa berkaitan operasi bencana rentas sempadan.

Antara modul latihan simulasi dalam projek itu ialah modul kereta kabel (modul menyelamat kemalangan kereta kabel), kemalangan kereta api bawah tanah, menyelamat bangunan condong dan bangunan separa runtuh dan menara.

Dalam perkembangan lain, Ahmad turut mengumumkan JKR akan membina projek NADMA di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara untuk menyiapkan dewan terbuka pusat pemindahan kekal bencana dalam kawasan sekolah.

Beliau berkata, terdapat lapan sekolah terpilih dengan dua sekolah menerima surat setuju terima (SST) manakala enam lagi masih dalam proses perancangan.

“Pusat ini adalah pusat pemindahan banjir, projek NADMA bagi hadapi bencana seperti banjir dengan membina dewan terbuka pusat pemindahan kekal bencana,” katanya. BERNAMA

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search