Kerajaan Kelantan dalam proses kumpul maklumat, bantu mangsa banjir
- Admin UKK
- Berita
KOTA BHARU: Kerajaan negeri dalam proses meneliti dan mengumpul maklumat mangsa yang terkesan akibat banjir untuk mengenal pasti bantuan sesuai yang boleh disampaikan kepada mangsa.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata kemusnahan teruk membabitkan kediaman memerlukan kos yang besar, justeru perlu kerjasama kerajaan Persekutuan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Bagaimanapun, katanya, pihaknya kini dalam usaha untuk mengatasi masalah segera dan semasa memandangkan musim Monsun Timur Laut (MTL) masih belum berakhir dengan jangkaan gelombang seterusnya dalam masa terdekat.
"Kita harap gelombang yang akan datang tidak seteruk banjirlalu supaya tiada lagi kemusnahan harta benda rakyat, selain bimbang mengenai keselamatan mereka yang terdedah dengan banjir.
"Malah, kita lebih bersedia untuk berhadapan dengan banjir kali ini selepas melalui pengalaman bah gelombang pertama. Kita harap ia tidak besar kerana jangkaan hujan juga selama tiga hari sahaja.
"Kerajaan negeri sebelum ini sudah memperuntukkan sumbangan khas untuk bantuan banjir dan ia akan diteruskan bagi meringankan beban rakyat yang menjadi mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan lembangan sungai utama di 10 jajahan di Kelantan dijangka berlaku banjir bermula Isnin ini hingga 19 Disember.
Kenyataan amaran itu susulan ramalan hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini membabitkan jajahan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai, Jeli, dan Gua Musang.