Mangsa banjir di Gua Musang meningkat
- Admin UKK
- Berita
KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Gua Musang bertambah kepada 307 orang setakat jam 8 pagi ini, berbanding 288 orang malam tadi.
Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa daripada 72 keluarga itu berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS).
Β
Jumlah mangsa di PPS Dewan Semai Bakti Felda Chiku 7 ialah seramai 235 orang daripada 54 keluarga, diikuti di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1 (41 orang, 10 keluarga) dan Dewan Orang Ramai Batu 6 (31 orang, lapan keluarga).
Β
Sementara itu, publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan satu sungai melepasi paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai iaitu 24.19 meter (m).
Lima sungai melepasi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang; Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah; Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah; Sungai Semerak di Pasir Puteh dan Sungai Galas di Chegar Lapan, Kuala Krai.
