Lebih 26,000 hektar sawah ditenggelami banjir di Kelantan
- Admin UKK
- Berita
Kota Bharu: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menganggarkan lebih 26,000 hektar tanaman padi di kawasan seliaan dan luar jelapang mengalami kerosakan susulan banjir yang melanda Kelantan sejak beberapa hari lalu.
Pengerusi Persatuan Pesawah Kelantan (Pesak), Zuha Ismail, berkata sebahagian besar kawasan berkenaan baru siap ditabur benih beberapa minggu lalu, manakala sebahagian lagi menunggu waktu untuk dituai.
“Kita lewat melakukan proses tabur untuk musim 1/2025 kerana berdepan isu bekalan air sebelum ini. Namun, petani berdepan kerugian sekali lagi bila banjir melanda hampir seluruh Kelantan ketika ini.
“Bagi yang baru melakukan proses menabur, mungkin benih sudah dihanyutkan air kerana arus banjir pada tahun ini lebih deras daripada biasa,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini sudah tiga musim petani di Kelantan tidak dapat menanam padi dan mengalami kerugian hingga ribuan ringgit, termasuk dirinya sendiri yang mengusahakan kira-kira lima hektar sawah di Peringat.
Sementara itu, lima kementerian digembleng menggerakkan petugas masing-masing bagi membantu mangsa banjir yang sehingga jam 8 malam tadi mencatatkan 131,461 mangsa daripada 39,266 keluarga dengan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 82,460 orang.
Malah, banjir kali ini di Kelantan disifatkan sebagai terburuk dalam sejarah.
Sementara itu, di Johor Bahru, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kementerian diarah membantu mangsa banjir di sembilan negeri terbabit.
“Minggu ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan ke Pantai Timur untuk meninjau sendiri keadaan banjir dan salurkan bantuan.
“Kerajaan memang salurkan dana bantuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk bantu mangsa banjir yang terkesan. Insya-allah, kita akan bantu jika ada isu berbangkit.
“Saya juga sudah minta pertolongan dari GLC di bawah Kementerian Kewangan supaya berganding bahu membantu mangsa banjir yang terjejas menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), di waktu mereka memerlukan bantuan dan sokongan,” katanya.
Pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri dilaporkan mengarahkan penyaluran segera peruntukan hampir RM600 juta untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai persiapan mendepani musibah banjir, termasuk lebih RM300 juta yang sudah disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa.
Di Bukit Mertajam, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, mengingatkan majikan jangan sewenang-wenang memotong gaji pekerja yang menjadi mangsa banjir kerana ia menyalahi Akta Kerja 1955 dan Ordinan Buruh bagi Sabah dan Sarawak.
“Untuk keadaan banjir dan sebagainya, saya minta kalau ada majikan atau pekerja yang memerlukan bimbingan dari segi penyelarasan kerja supaya tampil atau menghubungi pejabat Tenaga Kerja,” katanya, semalam.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pula berkata kementerian sedang menyiasat kejadian tanah runtuh yang mengorbankan dua beradik di Ajil, Terengganu, kelmarin.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan pihak berkuasa untuk mengenal pasti punca kejadian, termasuk sama ada kawasan sekitar tempat kejadian selamat untuk diduduki atau sebaliknya.
Beliau ada dimaklumkan mengenai penutupan Jalan Gua Musang-jeli (Jalan Jelawang) di Kilometer 35.40 di daerah Gua Musang, bagi semua jenis kenderaan bermula 10 malam kelmarin, akibat mendapan tanah.
Jalan negeri itu dikesan mula mendap kira-kira jam 9 pagi kelmarin dan kawasan terjejas adalah sepanjang 15 meter.
Jawatankuasa selaras bantuan
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kementerian menubuhkan jawatankuasa petugas khas bagi menyelaras misi bantuan banjir, terutama di Pantai Timur termasuk bersama NADMA.
Katanya, bantuan terbabit termasuk menggerakkan aset Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Laut atau mana-mana agensi berkaitan untuk misi itu
“Timbalan Ketua Setiausaha MOT akan mengetuainya dan koordinasi, selain berbincang dengan NADMA untuk melihat keperluan boleh disalurkan daripada MOT kerana kita boleh kerah aset kita atau mana-mana agensi lain untuk gerakkan apa sahaja peralatan diperlukan untuk membantu.
“MOT ambil langkah proaktif supaya jentera daripada kementerian dapat dikerahkan, koordinasi dibuat bersama NADMA untuk lihat keperluan kerana kalau pergi tanpa koordinasi banyak sumber akan dibazirkan jadi kami kerahkan bantuan mengikut yang diperlukan.
Dalam pada itu, bencana yang melanda beberapa negeri ketika ini turut menjejaskan beberapa mod pengangkutan, terutama landasan kereta api di Kelantan yang ditenggelami banjir.
“Antara yang terkesan dari laluan Gemas ke Pantai Timur, banyak perjalanan dibatalkan. Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim juga terpaksa ditutup sebab landasan dibanjiri,” katanya.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), bersedia menggerakkan bantuan bomba luar Kelantan dan Terengganu, sekiranya keadaan banjir makin memburuk di negeri berkenaan.
“Kita akan melihat (keperluan gerakkan anggota bomba luar Kelantan dan Terengganu dari semasa ke semasa) tetapi pada peringkat kementerian seperti menjadi hasrat Perdana Menteri supaya kita ‘full force’. Selepas ini di peringkat Swcorp kalau sudah berhenti hujan, dari sudut pembersihan untuk kita tengok longkang, apa semua kita full force juga,” katanya.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata kementerian menggerakkan jentera Komuniti Rukun Tetangga (KRT) bagi misi bantuan banjir di kawasan terjejas bencana itu, di seluruh negara.
Katanya, kementerian bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), serta pihak berkaitan di lokasi terjejas banjir bagi memberi bantuan sewajarnya.