OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Banjir: Lebih 30 rumah hanya tinggal nampak bumbung di Kampung Mial

Banjir: Lebih 30 rumah hanya tinggal nampak bumbung di Kampung Mial

KUALA KRAI: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya - itu keadaan yang dialami hampir 200 penduduk Kampung Mial, di sini, apabila sekurang-kurang 37 rumah telah ditenggelami banjir hingga paras bumbung.

Setakat ini, kampung berkenaan sudah dinaiki air mencecah lebih lima meter (m) susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.

Penduduk, Hanapi Ali, 64, berkata lebih-lebih lagi kampung berkenaan dikelilingi sungai menyebabkan limpahan airnya memenuhi kawasan penempatan itu.

Katanya, hasil tinjauan dilakukan penduduk sendiri mendapati 37 daripada 60 kediaman di kampung itu hanya tinggal nampak bumbung, setakat pagi semalam.

Malah, beliau berkata, penduduk di beberapa perkampungan juga terputus hubungan selepas jambatan yang menjadi laluan utama untuk ke Bandar Kuala Krai ditenggelami banjir.

"Situasi banjir kali ini adalah di luar jangkaan. Penduduk berharap hujan segera reda kerana bimbang kejadian bencana sama 10 tahun lalu kembali berulang," katanya.

Hanapi memaklumkan, rumahnya ialah antara kediaman yang ditenggelami banjir hingga ke paras bumbung, dan beliau sekeluarga kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPD) Balai Raya Kampung Mial.

"Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dengan ujian daripada Allah SWT dan berharap keadaan kembali seperti biasa dalam masa terdekat," katanya.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search