OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

BERDIRI ENAM JAM

BERDIRI ENAM JAM

Seorang wanita yang menghidap penyakit gout terpaksa berdiri dalam air selama enam jam sebelum diselamatkan petugas Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Kelantan yang membawanya ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor, di sini.

Mazlina Mohamed, 45, berkata, kelmarin rumahnya dinaiki air separas hampir satu meter dari 7 pagi dan diselamatkan pada 3 petang.

“Saya terpaksa berdiri dan menahan kesakitan dalam air memandangkan kami sekeluarga baru berpindah di rumah sewa itu dua bulan lalu dan belum ada sofa atau perabot. Ini adalah pengalaman kali pertama kami berpindah ke PPS kerana banjir dan tetap menyewa di situ biarpun tahu kawasannya banjir memandangkan hanya itu saja pilihan yang ada, malah sewa adalah murah RM300 sebulan,” katanya ketika ditemui di PPS SMK Beris Panchor, semalam.

Dia bersama suami, Mohd Riduan Harun, 45, dan anaknya perempuannya, Aliya Maisarah Mohd Riduan, 19, berpindah ke PPS itu selepas mendapat arahan daripada pihak berkuasa dan diberi rawatan oleh pusat kesihatan daerah.

Sementara itu, Yasmin Syafiqah Anuar, 29, menceritakan pengalaman pertama mengalami banjir dan berpindah ke PPS selepas tidak lena tidur pada malamnya apabila kawasan tali air dan sawah padi mula dipenuhi air.

“Saya baru berpindah di perumahan Kampung Budi sejak empat bulan lalu dan tidak tahu di situ kawasan banjir, jadi saya mengemas barang dengan mengangkatnya ke tempat lebih tinggi. Pada jam 8 pagi, selepas air naik separas hampir satu meter, kami sekeluarga diarahkan berpindah oleh pihak berkuasa dan dibawa petugas Angkatan

Tentera Malaysia (ATM) ke PPS ini,” katanya yang berpindah ke PPS bersama suami, Mohd Junaidi Mohd Ikbal, 33, yang bekerja dengan pihak berkuasa tempatan di Kota Bharu dan tiga anak mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Jajahan Bachok Syamsul Abu Bakar berkata, seramai 40 mangsa banjir membabitkan 11 keluarga dipindahkan ke PPS itu kelmarin.

“Penghuni PPS diberi kemudahan dan kelengkapan yang cukup antaranya collapsible tent (khemah biru) kepada satu keluarga. Jika ahli keluarganya ramai, kami menyediakan kemudahan tambahan,” katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search