Perak mula dilanda banjir
- Admin UKK
- Berita
Sebanyak 66 mangsa banjir daripada 30 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Simpang Halt di daerah Larut, Matang dan Selama semalam selepas beberapa kawasan di daerah itu dinaiki air di sekitar Perak.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam kenyataan memaklumkan semua mangsa dari Kampung Simpang Halt yang terjejas berlindung di PPS berkenaan sejak 10 malam kelmarin.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak pula memaklumkan paras air di Sungai Rui di Jambatan Jalan Raya Perak, Hulu Perak berada pada paras amaran iaitu setinggi 165.55 meter (m) berbanding paras normal 165.10m.
Pada masa sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan kebanyakan daerah di Perak antaranya Larut, Matang dan Selama, Kerian, Perak Tengah, Hilir Perak, Kuala Kangsar serta Kinta diramalkan berlaku ribut dan hujan pada sebelah petang serta malam.
Di Terengganu, keadaan banjir tidak berubah dengan 29 mangsa ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman, setakat 8 pagi semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan semua mangsa daripada enam keluarga itu masih lagi berlindung di Balairaya Padang Kemunting di Kemaman.
Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my paras air di Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih di Kemaman; Sungai Nerus di
Kampung Langkap dan Sungai Nerus di Kampung Bukit di Setiu; dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu di Hulu Terengganu, berada pada paras amaran dan menunjukkan trend menaik.
Di Kelantan, dua sungai utama merekodkan bacaan melebihi paras berjaga-jaga setakat 9 pagi semalam.
Berdasarkan publicinfobanjir.water.gov.my, Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan 8.0 meter berbanding paras berjaga-jaga iaitu 7.0 meter dengan trend menaik, manakala Sungai Melor di Jambatan Bachok merekodkan 7.57 meter dengan trend menaik.
Sungai Semerak di Pasir Puteh pula menunjukkan bacaan melebihi paras amaran iaitu 2.6 meter berbanding bacaan amaran 2.3 meter dengan trend menaik.