Penduduk Pos Balar rayu selenggara laluan di Bukit Pasir
- Admin UKK
- Berita
Gua Musang: Lebih 1,000 penduduk Pos Balar, di sini, yang berdepan dengan risiko tanah runtuh setiap kali musim tengkujuh meminta pihak berwajib menyelenggara laluan di Bukit Pasir, dekat sini yang menjadi laluan utama keluar masuk ke pos berkenaan.
Tinjauan mendapati, laluan di Bukit Pasir itu juga menjadi laluan utama penduduk dari Pos Belatim serta agensi kerajaan dan kontraktor untuk ke penempatan Orang Asli bagi menghantar bantuan atau mengambil pesakit.
Seorang penduduk, Nen Aja, 27, berkata ketika musim hujan dan tanah lembap, laluan terbabit akan berlaku hakisan yang boleh membahayakan kenderaan melaluinya.
Lebih merisaukan, apabila hujan berlarutan selama beberapa hari boleh menyebabkan berlaku tanah runtuh dan penduduk tidak dapat keluar dari perkampungan mereka.
"Laluan ini sangat berisiko untuk diguna kerana boleh membahayakan nyawa pengguna terutama apabila tiba musim tengkujuh.
"Jalan ini kerap rosak dan berlaku hakis apabila hujan berterusan selama beberapa hari, lebih membimbangkan ketika kami dalam perjalanan keluar dan berlaku tanah runtuh.
"Laluan ini menjadi laluan utama untuk ke perkampungan di Pos Balar, jadi kami penduduk di sini berharap ia dapat diselenggara oleh pihak berwajib," katanya ketika ditemui di Pos Balar, di sini.
Nen berkata, laluan terbabit pernah diselenggara oleh pihak kontraktor namun kerana faktor cuaca ia kembali rosak.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim yang menerima aduan rakyat itu sudah meninjau lokasi terbabit dan berharap kerja menyelenggara jalan itu dapat disegerakan.
Katanya, langkah keselamatan perlu diambil bagi memudahkan urusan rakyat yang berada di kawasan pedalaman.
"Dianggarkan lebih 1, 000 keluarga menggunakannya kerana menjadi laluan menghantar anak ke sekolah serta berurusan di Bandar Gua Musang.
"Kita tidak mahu alasan jalan rosak menyebabkan kebanyakan ibu bapa tidak membenarkan anak ke sekolah," katanya.