Persiapan hadapi banjir: KPDN Kelantan lantik 133 pemborong, peruncit bekalkan bahan makanan asas
- Admin UKK
- Berita
TUMPAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melantik 133 pemborong dan peruncit sebagai langkah memastikan bekalan makanan asas mencukupi ketika banjir.
Pengarahnya, Azman Ismail, berkata pada masa sama 15 stesen minyak turut dilantik bermula bulan ini sehingga Mac tahun hadapan.
Daripada jumlah 133 itu, ia membabitkan 67 peruncit dan 66 adalah pemborong dan kebanyakan premis yang dipilih itu sudah dikenal pasti berada di kawasan bebas banjir.
"Semua mereka yang dilantik itu akan diberikan bekalan kuota tambahan sebanyak 30 peratus membabitkan 21 barangan keperluan asas termasuk gandum, beras, gula dan tepung berbanding kuota asal.
"Begitu juga untuk 15 stesen minyak, mereka juga diberi tambahan bekalan kuota 30 peratus sepanjang lima bulan ini.
"Tujuan lantikan pemborong dan peruncit ini dilakukan supaya penduduk di negeri ini tidak terputus bekalan makanan sekiranya berlaku banjir," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di premis pemborong di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemegang lesen pemborong dan peruncit yang dilantik itu akan memastikan barang kawalan serta keperluan asas lain yang dijual di premis berkenaan sentiasa mencukupi dan dijual dengan harga yang ditetapkan kerajaan.
"Pada masa sama, mereka yang dilantik itu juga akan mengadakan Program Jualan Rahmah di premis berkenaan sekiranya berlakunya banjir di daerah masing-masing," katanya.
Dalam perkembangan lain, Azman berkata, pihaknya merampas pelbagai barang kawalan membabitkan nilai lebih RM4.9 juta menerusi 452 tindakan kes dalam tempoh Januari sehingga semalam.
