OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

BOLEH MUAT 400 MANGSA

BOLEH MUAT 400 MANGSA

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sudah mengenal pasti lapan lokasi di seluruh negara yang bakal dijadikan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) bagi menempatkan mangsa banjir.

Ketua Pengarah Nadma Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, setakat ini sembilan PPK akan dibina di mana satu daripadanya sudah siap dan boleh digunakan.

Menurutnya, PPK di Johor adalah di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi yang dibaik pulih dan dinaik taraf di mana mampu menempatkan 400 mangsa banjir.

“Kapasiti yang besar itu dapat menampung mangsa banjir di kawasan terbabit berbanding sebelum ini hanya boleh menempatkan 150 ke 190 mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Sementara lapan lagi lokasi yang dikenal pasti di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Johor, Perak dan Pulau Pinang dalam proses tender terbuka untuk pembinaan yang mengambil masa 15 bulan untuk disiapkan,” katanya pada sidang media selepasTaklimat Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 di Markas Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (Smart) Pulau Meranti, Puchong di sini, semalam.

Khairul Shahril berkata, proses pembinaan PPK ini adalah satu struktur yang lengkap dan memerlukan spesifikasi teknikal daripada agensi terbabit seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melihat kesesuaian serta reka bentuk.

“Proses itu mengambil masa 15 bulan kerana untuk mengenal pasti lokasi, kesesuaian tapak, proses tender kerajaan dan memenuhi kriteria jumlah penduduk akan dipindahkan.

“Buat fasa pertama ini, hanya sembilan PPK sahaja tetapi ia akan berterusan bagi memenuhi keperluan mengganti PPS sekarang ini yang menggunakan sekolah sedangkan ia tidak dibina untuk tujuan itu (PPS),” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya PPK dengan kos pembinaan dianggarkan sehingga RM5 juta setiap satu, diharapkan sekolah tidak lagi akan digunakan sebagai pusat pemindahan di mana lokasinya juga akan dibina berhampiran kawasan sekolah.

“Apabila ia tidak digunakan pada musim bencana, pihak sekolah boleh menggunakannya untuk tujuan kokurikulum masing-masing,” katanya.

Sementara itu dalam taklimatnya semasa sesi libat urus berkenaan, Khairul Shahril berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu agensi berkenaan menyalurkan bantuan dan perkhidmatan kepada mangsa banjir pada musim MTL ini. “NGO yang berminat boleh berdaftar dengan pihaknya melalui aplikasi Rakan Nadma agar urusan bantuan dapat diagihkan dengan lebih cekap bagi mengelakkan pembaziran.

“Melalui aplikasi itu juga NGO yang terlibat boleh berkongsi maklumat mengenai atur gerak kerja dan jenis bantuan yang diperlukan di sesebuah kawasan yang dilanda banjir selain sebagai pelengkap kepada bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Kapasiti yang besar itu dapat menampung mangsa banjir di kawasan terbabit. - Khairul Shahril

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search