1,968 mangsa banjir dipindahkan ke enam PPS di Selangor
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Seramai 1,968 mangsa membabitkan 480 keluarga dipindahkan ke enam pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan banjir yang melanda tiga daerah sekitar Selangor, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, daerah terjejas adalah Shah Alam, Gombak dan Kuala Selangor.
"Seramai 1,968 mangsa daripada 480 keluarga diselamatkan oleh pasukan bomba yang ke lokasi bagi operasi banjir.
"Mereka ditempatkan di enam PPS dibuka di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seri Pagi, Paya Jaras; Dewan Kenanga; Dewan MBSA Bunga Matahari; Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Seri Kundang; Sekolah Rendah Agama Kuang; Sekolah Kebangsaan Desa Aman," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seramai 54 anggota dari enam Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Bestari Jaya, Selayang, Batu Arang, Bukit Jelutong serta Dengkil terbabit operasi berkenaan.
Katanya, pemantauan turut dilakukan di Kampung Sri Aman, Taman Saujana Aman, Kampung Parit Mahang di Kuala Selangor; Sungai Buah, Jambatan Sekolah Vokasional, Revolusi Hijau dan Pasar Dengkil di Sepang.
"Selain itu, Kampung Selayang Baru, Kampung Laksamana, Indian Sattlement di Selayang; Taman Rahmat Jaya Kundang, Lorong Utama 1, Lorong Setia 7, Kampung Melayu Sri Kundang, Lorong Haji Talib, Kampung Gombak dan Kampung Bunga Raya di Gombak," katanya.