OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Nilai kerugian akibat banjir tahun lalu berkurangan

Nilai kerugian akibat banjir tahun lalu berkurangan

Kota Tinggi: Nilai kerugian akibat bencana banjir negara tahun lalu berjaya dikurangkan kepada kira-kira RM755 juta, berbanding RM1.03 bilion pada 2022, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pengurangan kerugian bencana banjir sebanyak RM275 juta tahun lalu itu adalah hasil daripada pengurusan cekap dan berkesan susulan pelaksanaan konsep Pengurangan Risiko Bencana.

Beliau berkata, walaupun bencana tidak boleh dielakkan namun risiko bencana boleh diuruskan dengan impaknya boleh diminimumkan, apabila tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana sentiasa diamalkan dan dipertingkatkan semua pihak.

"Oleh sebab itu, sejak saya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, saya tekankan komunikasi dan koordinasi.

"Pembabitan kolektif semua pihak dengan penyelarasan yang betul membolehkan sesuatu gerak kerja itu lebih sempurna, mengurangkan kerugian pengurusan bencana negara yang akhirnya menjadikan Malaysia sebuah negara berdaya tahan bencana.

"Pada Monsun Timur laut 2023 yang lalu, nilai kerugian yang ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM755 juta, iaitu tempoh dari Januari sehingga Disember 2023.

"Nilai kerugian ini menurun berbanding RM1.03 bilion pada MTL 2022, iaitu pengurangan kerugian sebanyak RM275 juta.

"Penurunan jumlah kerugian yang ditanggung kerajaan ini saya percaya adalah hasil pengurusan bencana yang lebih cekap dan berkesan oleh pelbagai pihak yang terbabit dalam pengurusan bencana," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2024 di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah melancarkan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.

Beliau berkata, dasar itu bagi memastikan langkah pengurusan bencana yang diambil adalah relevan dengan cabaran semasa serta berupaya meningkatkan keupayaan negara dalam menghadapi dan menguruskan bencana dengan lebih baik.

"Syukur Alhamdulillah, penggubalan dasar ini telah pun selesai dan mendapat kelulusan Kabinet dan pada hari ini Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 ini dilancarkan bersempena dengan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2024.

"Insya-Allah, dasar ini akan menjadi panduan utama untuk mengurangkan risiko, meminimumkan impak bencana, dan mewujudkan negara yang berdaya tahan.

"Ia membolehkan koordinasi yang lebih jelas dan tersusun antara semua pihak.

"Dasar ini juga penting untuk memperkukuh daya tahan, kesedaran, dan kesediaan masyarakat melalui pengurusan risiko yang komprehensif dan holistik," katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search